NYFW Musim Bunga/Panas 2026 memperlihatkan kepelbagaian idea dan estetika, daripada rekaan praktikal hingga fantasi penuh imaginasi, menjadikan landasan peragaan New York sebagai pentas yang segar dan bertenaga.
Minggu Fesyen New York Musim Bunga/Panas 2026 memperlihatkan fesyen sebagai medan dialog antara fungsi dan fantasi, tradisi dan pembaharuan. COS menampilkan sofistikasi moden dengan palet rona gelap yang kaya serta tekstur berlapis, Tory Burch mempersembahkan tafsiran wanita kontemporari yang rapi dan praktikal, manakala Sandy Liangmenghidupkan dunia fantasi penuh imaginasi berinspirasikan rumah anak patung, filem animasi dan permainan simulasi kehidupan.
New York Fashion Week (NYFW) pula merupakan salah satu acara fesyen terbesar di dunia, diadakan dua kali setahun — Februari untuk koleksi Musim Gugur/Sejuk (Fall/Winter) dan September untuk koleksi Musim Bunga/Panas (Spring/Summer). Ia menjadi pentas utama pereka antarabangsa ternama dan jenama Amerika untuk mempersembahkan koleksi terkini, daripada rumah fesyen ikonik seperti Ralph Lauren, Michael Kors, dan Carolina Herrera hinggalah ke bakat baharu yang sedang meningkat naik.
Selain pertunjukan rasmi di landasan, NYFW turut disemarakkan dengan persembahan alternatif, pertunjukan berskala kecil, kolaborasi seni dan acara komuniti — menjadikannya lebih daripada sekadar paparan busana, tetapi sebuah perayaan kreativiti, budaya dan inovasi fesyen.
Sandy Liang
Diilhamkan oleh konsep penciptaan diri, koleksi Musim Bunga/Panas 2026 Sandy Liang merupakan penerokaan penuh permainan terhadap garisan halus antara realiti dan fantasi. Berbekalkan inspirasi pelbagai – daripada rumah anak patung miniatur Huguette Clark, karya Studio Ghibli Arrietty, hinggalah permainan simulasi kehidupan seperti The Sims – Liang menukar objek seharian menjadi leitmotif bergaya.
Koleksi ini adalah sebuah ode kepada generasi baharu, meraikan idea bahawa gaya bukan sekadar tentang apa yang anda pakai, tetapi bagaimana anda membentuk diri anda. Bahkan item paling kecil dan peribadi boleh ditransformasikan menjadi pernyataan tentang siapa diri anda.
KidSuper
KidSuper, jenama streetwear Brooklyn oleh Colm Dillane, tampil di NYFW 2025 dengan acara “The People’s Runway”, sebuah pentas komuniti terbuka yang meraikan lima pereka muda terpilih dari Brooklyn sambil menegaskan identitinya sebagai jenama yang berani, berwarna-warni, serta komited terhadap seni, fesyen dan masyarakat.
Gabe Gardon
Gabe Gordon mempersembahkan koleksi musim bunga/panas 2026, diinspirasikan daripada album Erotica (1992) oleh Madonna serta filem thriller erotik Crash arahan David Cronenberg. Menurut pereka itu, koleksi ini “meneroka pertembungan antara seks, keanehan, cinta, kematian dan keganasan.”
Kesan yang dibawa cukup menggetarkan. Tiada material yang tersisih daripada papan inspirasi musim ini. Rajutan tampalan tampil bergandingan dengan helaian dramatik berbutang perak sarat logam, sementara sepasang seluar lateks sheer yang berani menambahkan elemen kejutan – memukau pandangan di pentas peragaan.
Christian Siriano
Christian Siriano di NYFW 2025 mempersembahkan koleksi Spring/Summer 2026 penuh glamor ala Hollywood lama, bermula dengan siluet monokrom bermotif jalur, polka dot dan plaid sebelum mekar dalam gaun Technicolor dramatik seperti Tiffany blue dan Barbie pink, sambil mengekalkan sentuhan inklusif yang menjadi identitinya.
COS
Koleksi COS ini berakar pada palet sofistikated berona gelap kaya dan mendalam – hitam, kelabu keluli dan biru navy pekat – dipadankan dengan sentuhan neutral. Ekspresi kreatif terserlah apabila kod ikonik rumah fesyen ini diolah semula melalui material halus, tekstur dan kemasan: permukaan berkesan seperti kulit poni, kulit lembut serta shearling diseimbangkan dengan permainan matte berbanding berkilau, menambah dimensi visual. Di landasan, suntikan fabrik sheer memperkenalkan detik-detik transparensi halus, menyingkap tubuh ketika bergerak, manakala corak kotak-kotak dinamik berinspirasikan warisan menyerlah pada busana siap pakai, aksesori dan kasut, membentuk penampilan menyeluruh dari kepala hingga ke kaki.
Tory Burch
Tory Burch mempersembahkan koleksi Musim Bunga 2026, menampilkan interpretasi wanita Tory Burch yang lebih rapi, teratur dan praktikal — sosok moden yang sentiasa bergerak aktif namun tetap memancarkan keanggunan.
Kemeja berkolar berlengan panjang yang lembut, seluar berpotongan rapi, blazer leher mock, skirt pensil kulit dan gaun kapas crepe potongan A-line membentuk latar gaya wanita New York yang sibuk — sosok yang memerlukan helaian segar dan bergaya untuk dipakai selepas kerja, sama seperti keperluannya terhadap koleksi kapsul pejabat yang sesuai dan praktikal.
Baca:
Emmy Awards 2025: Gaya Selebriti di Karpet Merah
Gaya Glamor Selebriti di Anugerah Industri Muzik ke-24
Adidas Originals Tampilkan Lagenda Hip Hop Malaysia, Joe Flizzow Sebagai Wajah Utama