Buat julung kalinya, Longchamp dan Gloverall menyatu dalam satu kerjasama kreatif yang menggabungkan warisan fesyen dan aksesori kulit mereka. Dua rumah fesyen, satu dari Paris, dan satu lagi dari London, keduanya menafsir semula dua rekaan ikonik mereka iaitu beg Le Roseau dan kot duffle. Kolaborasi ini meraikan keanggunan Perancis dan keunikan British.
Longchamp dan Gloverall memperkenalkan kot duffle baharu yang menonjolkan identiti dan kehalusan seni pertukangan mereka. Diperbuat daripada wool berkualiti tinggi di bengkel bersejarah Gloverall di London, kot ini menyerlahkan nilai kraf yang unggul.
Dari Paris ke London, pencinta gaya pasti menggemari kot duffle Longchamp x Gloverall yang hadir dalam rona biru navy dan kuning nutmeg, dengan potongan longgar, kolar tinggi dan hud besar. Di bahagian dalam, lapisan bergaris menggantikan corak kotak tradisional sebagai satu penghormatan seni reka kepada French marinière.
Duffle-coat, yang asalnya sinonim dengan Royal Navy, amat mudah dikenal pasti, hanya melalui butang toggle dan tali, dan gaya ini diperkenalkan pada abad ke-19 bagi memudahkan para pelaut ‘membutangkan’ kot mereka walaupun ketika memakai sarung tangan.
Kolaborasi Warisan & Inovasi
Kembali ke tahun 1993, rekaan butang toggle yang ikonik ini memberi inspirasi kepada buckle buluh yang menjadi ciri khas beg Le Roseau Longchamp. Kini, buckle yang diperbuat daripada kayu maple menghiasi kot duffle Longchamp x Gloverall, menyatukan elemen tradisi dan gaya moden.
Tiga dekad kemudian, kolaborasi ini juga memberikan udara baharu kepada rekaan Le Roseau yang merupakan salah satu beg paling ikonik Longchamp. Dua rekaan ikonik, kini diolah semula menjadi sesuatu yang lebih klasik dan kontemporari.
Sejak tahun 1951, Gloverall menjadi pilihan utama peminat duffle-coat. Dengan hud besar dan rekaan butangnya yang unik, kot ini menggambarkan personaliti yang kuat, dari Field Marshal Montgomery yang legenda hingga ke tokoh kreatif seperti Jean Cocteau dan Stanley Kubrick.
Diilhamkan daripada pakaian seragam Royal Navy, rekaan duffle-coat merentas generasi sebagai lambang kontrakultur pasifis. Status ikoniknya menjadi kukuh apabila ia diterima baik oleh wanita, lantas mengubah elemen ketenteraan menjadi simbol kebebasan dan emansipasi, digayakan dengan santai oleh mereka yang berjiwa pemberontak moden seperti Brigitte Bardot dan Alexa Chung. Dari gaya bersahaja Liam Gallagher hingga ke daya tarikan malar segar Paddington Bear, kot duffle ini tidak pernah mengejar trend, malah sentiasa mendahului masa.
BACA: Kenali Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz, Bakal Isteri Raja Muda Selangor