Pastri Jepun terkenal dengan kelembutan tekstur dan kehalusan krimnya, dan Kotsu Kotsu membuktikan seni pastrinya.
Melangkah masuk ke Kotsu Kotsu Japanese Patisserie seolah-olah membawa diri ke sebuah sudut kecil di Jepun yang tenang dan penuh disiplin seni.
Ruangnya minimalis, bersih dan harmoni, setiap perincian terasa seperti hasil kerja tangan yang dihargai. Aroma vanila dan krim segar menyambut lembut sebaik pintu kaca terbuka, memberi bayangan bahawa di sinilah kesempurnaan dicipta, bukan dikejar.
EH!xperience di Kotsu Kotsu, langkah demi langkah, seperti namanya.
Nama Kotsu Kotsu sendiri bermaksud “langkah demi langkah.” Dan itulah yang dirasakan apabila menyaksikan cara mereka bekerja.
Tiada gopoh, tiada jalan pintas. Segala-galanya dilakukan dengan sabar dan cermat, dari mengadun krim hingga memotong kek sebaik pelanggan membuat pesanan. Setiap potongan dilakukan dengan tangan oleh staf berpengalaman, memastikan tekstur kek kekal lembut, seolah-olah baru keluar dari oven.
Di sinilah saya mula memahami kenapa pengasasnya begitu berpegang kepada budaya Omiyage, tradisi Jepun memberi hadiah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan. Bagi mereka, setiap kek bukan sekadar pencuci mulut tetapi simbol hubungan dan niat baik yang disampaikan dari hati.
Kotsu Kotsu menawarkan lapan jenis kek utama, semuanya dibuat segar setiap hari bermula seawal enam pagi.
Saya mencuba Signature Roll Cake mereka, kek span ringan dengan krim yang seolah mencair di lidah. Menurut chef Jepun mereka, kek ini hanya elok dimakan dalam tempoh lapan jam untuk memastikan rasa dan teksturnya berada pada tahap terbaik. Dari gigitan pertama, terasa kejujuran dan ketelitian yang menjadi jiwa pastri Jepun.
Chef Sasaki, seorang Muslim dari Jepun yang pernah berkhidmat di hotel lima bintang dan restoran Michelin di Perancis, mengetuai dapur ini bersama Chef Fukuda. Mengetahui bahawa setiap bahan yang digunakan adalah halal memberikan rasa tenang, satu jalinan harmoni antara cita rasa Jepun dan nilai Malaysia.










