Bagi pelakon dan model muda, Fitri Farok, setiap hari adalah peluang baru untuk belajar dan berkembang.
Mewarisi darah seni daripada neneknya, pelakon legenda Normah Damanhuri, dan dipengaruhi oleh keluarga terdekat, termasuk ibu saudaranya yang juga usahawan terkenal Liana Rosli (Kak KM), Fitri Farok, 26 tahun, menempuh dunia hiburan dengan langkah berani. Perjalanan kariernya bermula melalui penyertaan dalam Hero Remaja 2023, di mana dia berjaya merangkul gelaran naib juara dan terus mencuri perhatian ramai.
Tahun 2025 menandakan babak baru dalam perjalanan kariernya. Fitri Farok anak kelahiran Kuala Lumpur, bukan hanya ingin menjadi seorang pelakon berbakat, tetapi juga ingin meninggalkan kesan mendalam di mata penonton.
Dalam skala 1-10, sejauh mana keterujaan tentang kehidupan kamu hari ini?
10! Sekarang saya belajar untuk lebih menghargai masa sekarang. Setiap hari terasa seperti hari baharu. Saya seronok belajar perkara baharu tentang lakonan dalam kelas, menambah kemahiran, dan juga lebih banyak latihan Muay Thai. Semua itu buat saya rasa hidup dengan penuh semangat ditambah pula dapat luangkan masa dengan keluarga dan kawan-kawan.
Hal terbaik berlaku tahun ini?
Yang terbaik tahun ini ialah peluang untuk berlakon lebih banyak. Saya terlibat dalam tiga drama TV, dan setiap satunya beri saya peluang untuk belajar lebih mendalam tentang dunia lakonan. Tahun ini memang tentang belajar dan menjadikan diri saya sebagai “student of life.”
Siapakah individu yang menjadi inspirasi?
Ayah dan dua ibu saya. Mereka banyak ajar saya tentang adab, disiplin, kerja keras, ketabahan dan agama. Nilai-nilai itu yang buat saya terus berusaha capai impian tanpa mudah putus asa.
Siapakah yang anda kagumi dalam bidang anda dan mengapa?
Saya mengagumi ramai pelakon tempatan. Melihat semangat dan usaha mereka buat saya lebih bersemangat untuk terus belajar dan memperbaiki diri. Kawan-kawan pelakon pun banyak beri inspirasi.
Bagaimana Fitri kekal bermotivasi dan berinspirasi?
Keluarga saya. Saya nak mereka bangga. Dan untuk diri sendiri, saya mahu jadi lebih baik setiap hari sebagai individu, abang, kawan dan juga pelakon.
Cara terbaik merehatkan diri?
Ambil cuti sehari dari kerja. Pergi gim, buat latihan Muay Thai, berdoa, dan luangkan masa dengan orang tersayang itulah definisi ‘rehat’ bagi saya.
Apakah perkara paling mencabar yang pernah dilakukan?
Keluar dari zon selesa saya. Pergi uji bakat, bercakap di khalayak ramai, jumpa orang baharu semua itu mencabar tapi menyeronokkan. Lagi saya takut, lagi saya nak cuba.

Pernahkah Fitri diminta mengubah sesuatu tentang diri Fitri?
Ya. Saya suka bila orang menilai atau beri teguran. Kadang-kadang kritikan itu tak masuk akal, tapi ada juga yang buat saya berfikir dan ubah diri jadi lebih baik.
Apakah erti kejayaan bagi Fitri?
Kepuasan bila kita buat sesuatu yang kita suka, dan bila dapat bantu orang lain sama ada dengan wang, ilmu, atau pengalaman.
Apakah perkara terbesar yang kamu pelajari tentang diri kamu tahun lalu?
Actions speak louder than words.
Sejauh mana proses kreatif berubah secara peribadi?
Kelas lakonan banyak bantu saya jadi lebih kreatif dalam meluahkan perasaan dan menghargai seni. Ia juga ajar saya memahami emosi, gerak-geri dan sebab di sebalik tindakan seseorang.
Apa perkara utama yang membezakan generasi kamu berbading dengan generasi lain sebelum ini?
Media sosial. Generasi kami terdedah kepada pelbagai budaya dan perangai. Sebab itu, kanak-kanak sekarang sangat perlukan bimbingan daripada ibu bapa dan orang dewasa supaya tak tersilap buat keputusan hidup.
Bagaimana menyeimbangkan kehidupan sosial dengan ketenangan diri sendiri?
Dengan mengimbangi empati dan komunikasi yang sihat, serta tahu batas diri. Bila dah sampai limit, kena tahu untuk kata tidak. Jaga tenaga dan masa, sebab bila terlalu penat, kita mudah buat atau cakap benda yang tak sepatutnya.
Apakah salah faham lazim tentang pekerjaan atau bidang yang Fitri ceburi?
Ramai kata saya nampak “cover handsome” padahal saya tak perasan pun! Bagi saya, rupa penting tapi nilai seseorang lebih dari itu. Mungkin sebab dulu saya kerja sebagai model, jadi dah jadi kebiasaan.
Apakah nasihat yang akan diberikan kepada orang yang merasakan suara mereka tidak dianggap penting?
Setiap suara penting. Kalau rasa tak didengar, mungkin pendapat tu belum cukup baik atau mungkin kita berada dalam kelompok yang salah.
Apakah plan kerjaya dalam masa terdekat?
Saya nak capai matlamat kerjaya dan fizikal, belajar kemahiran baru, dan jadi orang yang baik kepada semua termasuk orang yang tak saya kenal.
Arahan Kreatif: Khairul Abidin, Gambar: Edmund Lee, Hexa Productions, Videografi: Simon Tan, Arahan Seni: Amirul Arifin, Penata Gaya: Erdina Hairi, Penerbit Kandungan Digital: Farah Ain, Solekan: Cody Chua , Dandanan: May May, Pakaian & Aksesori: COACH
Baca: EH! TOP 20 2025
