Seorang pencipta kandungan dari Filipina yang menetap di Kuala Lumpur dan minda di sebalik siri ‘Bags of KL’ di TikTok. Eros Erfe atau dikenali The KLCC Boy, membuatkan dunia fesyen mewah lebih dekat dan mudah diikuti.
Sama ada dia meninjau beg-beg eksklusif di butik sekitar ibu kota menerusi siri Bags of KL atau berkongsi keluaran fesyen terkini, video kandungan Eros Erfe sentiasa menarik perhatian penonton. Bagi pengikut setia, setiap klip bukan sahaja hiburan, tetapi juga sumber maklumat berharga yang dinanti-nantikan.
Apa yang membuatkan Eros unik dan berbeza daripada rakan-rakan seindustri adalah komitmennya yang berterusan untuk memaparkan fesyen bukan sekadar kandungan, malah akaunnya menjadi jambatan yang menghubungkan orang ramai dengan pelbagai jenama fesyen.
Dalam skala 1-10, sejauh mana keterujaan tentang kehidupan kamu hari ini?
Saya sangat teruja, dan kalau boleh saya bagi skor 12! Dunia ini luas dan penuh kejutan, dan apa sahaja boleh menjadi kenyataan jika kita betul-betul fokus pada impian.
Hal terbaik berlaku tahun ini?
Saya bersyukur kerana dapat bekerja dalam bidang fesyen yang sememangnya saya cintai. Kesihatan dan peluang untuk mengembara memang penting, tetapi pencapaian terbesar tahun ini sudah tentu menjadi sebahagian daripada EH!TOP20 2025.
Siapakah individu yang menjadi inspirasi?
Saya mula menulis blog semasa sekolah menengah. Antaranya yang memberi inspirasi adalah Jane Chuck dan blogger Singapura, Yutakis James.
Siapakah yang anda kagumi dalam bidang anda dan mengapa?
Di Malaysia, saya mengagumi Jane Chuck kerana dia adalah ratu empayar kecantikan dan fesyennya sendiri, sentiasa berinovasi. Dari sudut pencipta kandungan fesyen pula, saya terpesona dengan Loic Prigent kerana kualiti dan informasi tinggi dalam setiap karyanya.
Bagaimana anda kekal bermotivasi dan terus mendapat inspirasi?
Saya rasa perjalanan dan mencari inspirasi penting untuk menyembuhkan jiwa. Burnout itu sesuatu yang nyata, jadi penting untuk memberi masa kepada diri sendiri agar dapat terus melangkah ke hadapan.
Apakah cara terbaik untuk berehat dan menenangkan diri?
Saya suka urutan yang menenangkan, rawatan wajah yang menyegarkan, dan gemar makan makanan kegemaran dan bersantai di rumah.
Apakah perkara paling mencabar atau berani yang pernah anda lakukan?
Mula mengaktifkan akaun TikTok antara perkara paling berani yang pernah saya lakukan. Saya tiada panduan dan tidak tahu apa yang saya lakukan, cuma mengikut arus semasa. Memang menakutkan kerana ketidakpastian, tetapi salah satu pengembaraan paling mendebarkan setakat ini.

Pernahkah anda diminta untuk mengubah sesuatu tentang diri anda?
Ketika ini saya obses dengan kuku , dan ia sebahagian besar daripada gaya saya sekarang, saya ambil risiko dengan keluar dari norma. Saya gembira kerana tidak mengikut nasihat orang lain dan terus mengekspresikan diri sendiri. Siapa saya hari ini adalah kerana saya berpegang pada pilihan sendiri.
Apakah erti kejayaan bagi kamu?
Bagi saya, kejayaan adalah dapat meninggalkan legasi yang tidak dapat dinafikan. Kejayaan adalah apabila saya meninggalkan impak atau kesan, dan membuka peluang bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Saya tidak akan berada di sini tanpa impak orang lain sebelum saya, dan bagi saya kejayaan adalah apabila saya dapat melakukan perkara yang sama untuk generasi akan datang.
Apakah perkara terbesar yang kamu pelajari tentang diri kamu tahun lalu?
Saya sedar bahawa saya seorang peminat wangi-wangian dan sentiasa menghidu perfume orang lain haha. Saya mungkin lupa wajah atau rupa seseorang, tetapi tidak akan lupa baunya.
Sejauh mana proses kreatif berubah secara peribadi?
Proses kreatif saya masih dalam perkembangan, dan dengan belajar untuk bekerja dan bekerjasama dengan orang lain daripada menyimpannya semua untuk diri sendiri, saya mempunyai lebih masa untuk melakukan perkara lain dan meneroka idea baru.
Apakah isu semasa yang paling dekat dengan diri kamu ketika ini?
Terdapat banyak isu di dunia sekarang dan rasanya tidak adil untuk mengutamakan satu berbanding yang lain. Tetapi sebagai seseorang yang sentiasa online, buli siber dan literasi media di kalangan remaja sangat penting bagi saya.
Apa perkara utama yang membezakan generasi kamu berbading dengan generasi lain sebelum ini?
Saya rasa generasi kami adalah gabungan keberanian, hati, dan humor santai. Kami tidak mengambil semua perkara terlalu serius tetapi tetap melakukan sesuatu dengan sepenuh hati.
Bagaimana kamu menyeimbangkan kehidupan sosial dengan ketenangan diri sendiri?
Penting untuk tahu apa yang berlaku di sekeliling dan sentiasa berinformasi. Untuk menyeimbangkan ketenangan diri, saya rasa okey untuk mendengar pendapat lain dan tahu bila perlu bersetuju untuk bersetuju atau tidak bersetuju.
Apakah salah faham lazim tentang pekerjaan kamu?
Orang sering salah faham dan fikir saya suka menunjuk-nunjuk, terutama barang mewah, sedangkan tujuan akaun The KLCC Boy adalah untuk mewujudkan hubungan lebih dekat dan terbuka antara jenama fesyen dan rakyat Malaysia secara dalam talian.
Apakah nasihat yang akan kamu berikan kepada orang yang merasakan suara mereka tidak dianggap penting?
Be true to yourself. Mungkin kelihatan tiada siapa yang mendengar, tetapi jika saya jujur dan mesej saya datang dari hati yang betul, orang akan menghargai keaslian saya dan mendengar.
Apakah plan kerjaya kamu dalam masa terdekat?
Saya baru berumur 29 dan apabila menuju ke penghujung 20-an, saya cuba mempertingkatkan diri lagi. Saya mahu menjadi versi terbaik diri sendiri, secara fizikal dan mental, dan itu adalah perkara yang saya rancangkan untuk dicapai.
Arahan Kreatif: Khairul Abidin, Gambar: Edmund Lee, Hexa Productions, Videografi: Simon Tan, Arahan Seni: Amirul Arifin, Penata Gaya: Erdina Hairi, Penerbit Kandungan Digital: Farah Ain, Solekan: Ahma Dani, Dandanan: Yusof Ruzaimi, Pakaian & Aksesori: COACH
Baca: EH! TOP 20 2025
