Nama Miki Ghazali kini bergema di pentas serantau, mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas buat Malaysia dalam acara Muay Thai lelaki 57kg di Sukan SEA Thailand 2025. Lebih mengagumkan, kemenangan ini hadir pada penampilan sulungnya, sekali gus menobatkan Miki sebagai permata baharu sukan negara.

Pada usia di mana kebanyakan remaja masih mencari arah dan identiti diri, Muhamad Mikail Ghazali atau dikenali sebagai Miki Ghazali sudah pun mencipta detik yang mengubah hidupnya. Remaja berusia 16 tahun ini mencuri tumpuan seluruh Asia Tenggara apabila menghadiahkan pingat emas buat Malaysia dalam acara Muay Thai lelaki 57kg di Sukan SEA Thailand 2025.
Beraksi di gelanggang keramat Stadium Lumpinee, Bangkok, Miki berdepan tekanan berganda apabila bertemu wakil tuan rumah Thailand pada aksi final. Namun, remaja berusia 16 tahun ini membuktikan bahawa usia bukan ukuran kehebatan. Dengan fokus tajam dan disiplin tinggi, Miki mendominasi dua pusingan awal, sebelum berdepan tentangan sengit pada pusingan terakhir.
Keputusan 29-28 memihak kepadanya. Tipis, tetapi cukup untuk mengangkat Jalur Gemilang di bumi Bangkok. Saat itu, bukan sekadar pingat emas yang dimenangi, tetapi kepercayaan bahawa masa depan Muay Thai Malaysia berada di tangan yang tepat.
Kejayaan ini bukan sekadar menambah koleksi pingat negara, malah mengangkat nama Miki Ghazali sebagai atlet sukan baharu Sukan SEA dan simbol harapan masa depan Muay Thai Malaysia.

Artikel Berkaitan: Senarai Pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 37
