Dunia kecantikan menyaksikan satu lagi detik ikonik apabila YSL Beauty secara rasmi mengumumkan Meerqeen, sebagai wajah terbaharu untuk koleksi haute parfumerie eksklusif mereka, Le Vestiaire des Parfums.

Tahun ini, YSL Beauty membuka lembaran baharu apabila menobatkan Meerqeen sebagai wajah rasmi Le Vestiaire des Parfums, koleksi haute parfumerie yang mengangkat warisan ikonik almari pakaian Yves Saint Laurent ke dalam bahasa wangian. Pelantikan ini menandakan evolusi kerjasama Meerqeen bersama YSL Beauty Malaysia, daripada duta jenama kepada muse yang mencerminkan jiwa dan estetika koleksi tersebut.
Le Vestiaire des Parfums dihasilkan oleh barisan pembuat parfum terkemuka dunia. Setiap wangian melangkaui definisi aroma biasa, sebaliknya menjadi interpretasi olfaktori kepada gaya dan semangat berani Yves Saint Laurent. Dicipta sebagai penghormatan kepada helaian paling ikonik Yves Saint Laurent, tuxedo, trench coat, safari jacket diterjemahkan bukan dalam fabrik, tetapi melalui aroma. Setiap wangian berfungsi seperti pakaian couture yang dipakai rapat ke kulit, membentuk identiti dan meninggalkan impresi yang kekal.
Turut menjadi nadi kepada koleksi ini ialah Tuxedo, wangian ikonik yang diinspirasikan daripada potongan sut ikonik Yves Saint Laurent. Berstruktur namun sensual, Tuxedo mengimbangi kekuatan dan kehalusan refleksi sempurna kepada keanggunan moden Meerqeen. Wangian ini membangkitkan aura sofistikasi Parisian yang klasik, tetapi kekal relevan untuk gaya kontemporari.

Di tengah koleksi ini, Muse muncul sebagai refleksi paling peribadi, ia meraikan individualiti, kebebasan berkarya dan keyakinan yang tidak perlu ditonjolkan secara berlebihan, seiring dengan perjalanan Meerqeen sebagai figura seni yang sentiasa berevolusi, namun kekal autentik dengan dirinya sendiri. Meerqeen menghidupkan naratif ini dengan cara yang bersahaja, mencerminkan sisi Meerqeen yang matang dan sofistikated seiring dengan DNA YSL itu sendiri.
Koleksi YSL Beauty Le Vestiaire des Parfums hadir dalam 16 pilihan wangian, dengan harga RM1,450.00 (125ml) dan RM570.00 (35ml) setiap satu. Sempurna sebagai hadiah musim perayaan untuk diri sendiri atau insan tersayang, koleksi ini boleh didapati di butik YSL Beauty terpilih serta secara dalam talian di YSL Beauty Malaysia.

Artikel Berkaitan: 6 Produk Yang Digunakan Untuk Merias Zara Larsson Sepanjang Jelajah “Midnight Sun”
