Di era K-Drama dan K-Cinema yang semakin global, bayaran per episod dan filem sudah jauh melebihi angka biasa. Malah, ada pelakon Korea yang menerima gaji lebih tinggi daripada bintang Hollywood!
Kalau dulu kita kagum dengan bakat dan populariti mereka, kini giliran gaji mereka pula yang membuatkan ramai orang ternganga. Pendapatan pelakon Korea tidak hanya datang dari lakonan semata-mata. Ada yang menjadi duta jenama mewah, menubuhkan syarikat produksi, malah memanfaatkan media sosial untuk aliran pendapatan tambahan. Dan sebelum tirai tahun ini ditutup, jom kita intai siapa antara pelakon Korea yang menguasai senarai bayaran termahal untuk tahun 2025.
Sepuluh Pelakon Korea Dengan Bayaran Termahal;
1. Lee Jung Jae
Nama Lee Jung Jae mula melonjak ke pentas antarabangsa selepas fenomena global Squid Game. Bayaran lakonannya kini mencecah 1 juta USD setiap episod, satu angka yang buat peminat ternganga. Lee Jung Jae bukan sahaja bergantung pada lakonan semata-mata, dia juga memiliki restoran popular di Seoul, pelaburan hartanah, serta kerjasama eksklusif dengan jenama mewah, menjadikan pendapatannya jauh lebih tinggi daripada yang ramai sangka.

2. Kim Soo Hyun
Walaupun 2025 menjadi tahun penuh cabaran buat Kim Soo Hyun apabila dia mula di “cancel” akibat kontroversi yang melanda, namanya masih dikenali ramai sebagai Drama King. Bayaran per episodnya antara 227,000 hingga 423,000 USD. Kontroversi mungkin menjejaskan imejnya sebentar, tetapi pengaruh Kim Soo Hyun tetap kukuh di hati peminat, menjadikannya antara pelakon paling bernilai di Korea dan bukti bahawa bakat sebenar tidak mudah dilupakan.

3. Park Bo Gum
Park Bo Gum dikenali sebagai pelakon dengan imej bersih dan versatil. Bayaran per episodnya kini sekitar 375,000 USD, satu angka yang cukup memberangsangkan. Tahun 2025 menjadi tahun gemilang buat Park Bo Gum, terutamanya selepas drama When Life Gives You Tangerine benar-benar mengangkat namanya ke tahap baru. Park Bo Gum juga aktif dalam muzik, rancangan variety, dan pelbagai kerjasama jenama mewah, menjadikannya salah seorang bintang muda Korea yang paling bernilai dan diminati.

4. Song Joong Ki
Selepas kejayaan drama Reborn Rich, bayaran per episod Song Joong Ki melonjak kepada sekitar 228,500 USD membuktikan bahawa popularitinya terus menjadi taruhan tinggi bagi pengarah drama dan filem. Namanya bukan sahaja terkenal di Korea, tetapi juga menggema di pasaran antarabangsa, menjadikannya antara pelakon Korea yang paling berpengaruh. Selain lakonan, Song Joong Ki juga menjadi wajah jenama global, menambah lagi lapisan kepada statusnya sebagai bintang yang diminati ramai di seluruh dunia.

5. Gong Yoo
Siapa yang tidak kenal Gong Yoo? Dari filem blockbuster Train to Busan hingga drama popular Goblin, dia terus mengekalkan populariti dan bayaran sekitar 200,000 USD per episod. Kerjasama dengan jenama mewah menjadikan Gong Yoo tetap relevan dan diminati sehingga ke hari ini, walaupun dia sudah lama berada dalam industri hiburan.

6. Ji Chang Wook
Ji Chang Wook, terkenal dengan lakonan dalam drama aksi dan romantik, kini mengukuhkan bayaran per episodnya antara 180,000 hingga 200,000 USD Konsistensi dalam memilih watak, reputasi sebagai pelakon bankable, serta kerjasama dengan jenama mewah menjadikannya salah seorang pelakon Korea yang paling bernilai pada tahun 2025.

7. Park Seo-joon
Park Seo-joon bukan sahaja terkenal di Korea, tetapi juga mula mencuri perhatian di peringkat antarabangsa. Bayaran per episodnya sekitar 200,000 USD dan popularitinya di platform streaming global menjadikannya pilihan utama untuk projek antarabangsa serta duta jenama mewah. Park Seo-joon juga semakin dikenali sebagai pelakon yang marketable, terutama selepas melangkah ke layar lebar Hollywood dengan filem Marvel.

8. Lee Jong Suk
Lee Jong Suk membina kerjayanya melalui pelbagai genre, daripada drama percintaan hingga thriller dan fantasi, menjadikannya salah seorang pelakon versatil di Korea. Bayaran per episodnya kini sekitar 200,000 USD dan pengaruhnya merangkumi bukan sahaja lakonan, tetapi juga kempen fesyen dan jenama lifestyle.

9. Lee Seung Gi
Lee Seung Gi menonjol bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga penyanyi, pengacara, dan pengurus produksi sendiri. Bayaran per episodnya sekitar 200,000 USD dan dengan pelbagai aliran pendapatan ini, dia tergolong antara pelakon Korea dengan pendapatan tertinggi. Nama Lee Seung Gi terus relevan dan diminati ramai.

10. Park Hyung Sik
Park Hyung Sik semakin menonjol melalui drama dan projek antarabangsa. Bayaran per episodnya sekitar 200,000 USD Ditambah pula dengan kerjasama bersama jenama terkenal, pendapatan dan popularitinya terus meningkat, sementara dramanya tahun ini juga boleh dikatakan hit besar, mengukuhkan lagi statusnya sebagai salah seorang bintang Korea yang paling diminati.

Artikel Berkaitan: Selebriti Malaysia Paling Banyak ‘Followers’ Di Instagram
