Mesra dipanggil Caim, EH! menghubungi Sharhim Khan individu yang bertanggungjawab merias wajah Erra Fazira di malam resepsinya Sabtu lalu. Erra menggayakan persalinan keemasan dari Fizi Woo untuk malam persandingan yang dihadiri majoritinya rakan industri.
Untuk gaya solekan Erra Fazira di malam resepsi lalu, inspirasinya dari Caim atau Erra Fazira yang berikan rujukan?
Kita bertukar idea dan berbincang. Kak Erra ada berkongsi beberapa gambar dari Instagram, dari situ kita discuss dan memilih yang bersesuaian. Kak Erra juga ada berkongsi gambar busananya sebelum kami membuat keputusan gaya solekan malam tersebut.
Apakah konsep asas solekan Erra untuk malam resepsi?
Soft glam. Solekan diberi perhatian pada bahagian mata, tapi tidak terlalu bold dan tidak juga terlalu light. Untuk solekan mata saya menggunakan palet pembayang mata dari Charlotte Tilbury, dan saya memilih ton chrome sebagai warna utama.
Bila melihat solekan ini, saya tertarik pada pipi merahnya. Boleh kongsikan cara untuk dapatkan efek pemerah pipi seperti Erra ini?
Jika yang familiar dengan gaya atau stail solekan saya, mereka memang tahu pemerah pipi adalah signature saya. Untuk solekan Kak Erra saya melakukan teknik blusher ‘tanam’ (disapu sebelum sapuan bedak). Saya menggunakan Charlotte Tilbury Unreal Blush Healthy Glow Stick.
Berapa lama proses meyolek Erra Fazira untuk majlis ini?
Dalam satu jam 40 minit. Saya ambil lebih masa untuk proses skin prep.
Kulit Erra kelihatan flawless, boleh kongsikan langkah Caim prep skin Erra?
Macam saya cakap tadi, saya berikan perhatian pada proses skin prep kerana apabila kita berada di usia yang matang, kulit kita memerlukan proses penghidratan yang lebih menyeluruh. Jadi saya mulakan dengan memakaikan Kak Erra sheet mask. Selepas beberapa minit saya sapukan toner dan krim pelembap.
“Untuk Kak Erra saya tidak banyak menggunakan banyak concelaer atau foundation, sedikit saja dah memadai. Selain kulitnya dah tersedia cantik, saya juga tidak mahu kulitnya nampak kering dengan foundation. Bedak pun saya layang-layang saja. Saya memang elakkan menyapu concelaer yang tebal di bahagian bawah mata.”– Sharhim Khan
Sudah berapa lama Caim menyolek wajah Erra Fazira?
Lebih kurang 10 tahun.
Boleh ingat tak pengalaman pertama menyolek wajah Erra Fazira?
Sebenarnya perasaan dari pengalaman pertama itu sama sampai ke hari ini. Saya masih ada perasaan gemuruh, mungkin kerana auranya. Tapi, dari pengalaman selama 10 tahun ini, banyak yang saya belajar. Kak Erra mendidik saya tentang disiplin, menjaga masa, jaga kebersihan, barang mesti tersusun. Dia mengajar saya untuk bekerja dengan lebih teratur.

Apa perasaan apabila Erra memilih Caim untuk menyoleknya untuk majlis resepsi memandangkan perkahwinan ini dianggap sebagai wedding of the year?
Tak sangka sebenarnya kerana pada awalnya Kak Erra minta saya tanyakan jurusolek dari Thai memandangkan saya sendiri kenal dan pernah belajar dengan makeup artist di sana. Tapi akhirnya, Kak Erra mengambil keputusan memilih saya. Alhamdulillah semuanya berlangsung baik.





