Bertahan atau berundur? Mencintai pasangan avoidant memerlukan kesabaran yang tinggi.
Menjalin hubungan dengan seseorang avoidant – yang sukar meluahkan perasaan atau cenderung menjaga jarak bukanlah perkara mudah.
Anda mungkin pernah tertanya-tanya, “Kenapa setiap kali hubungan semakin rapat, dia mula mengundur diri?” Di sinilah istilah avoidant personality atau avoidant attachment sering menjadi perbualan.
Avoidant personality merujuk kepada corak emosi di mana seseorang berasa tidak selesa dengan keintiman dan mulai mendedahkan perasaan yang sebenar.
Lazimnya, individu avoidant membesar dengan pengalaman yang membuatkan mereka belajar untuk berdikari secara berlebihan, menyimpan emosi sendiri dan melihat kebergantungan sebagai sesuatu yang melemahkan.
Dalam hubungan, pasangan avoidant selalunya kelihatan tenang, rasional dan berdikari. Namun di sebalik itu, mereka cenderung mengelak perbincangan emosi yang mendalam, sukar menyatakan keperluan perasaan, dan mungkin ‘hilang’ secara emosi apabila konflik atau keintiman meningkat. Ini bukan kerana mereka tidak peduli, sebaliknya, mereka tidak tahu cara mengurus emosi tanpa rasa terancam.
Hubungan dengan pasangan avoidant boleh menjadi mencabar, terutamanya bagi individu yang mendambakan hubungan rapat dan komunikasi terbuka. Namun, dengan kefahaman yang betul, sempadan yang sihat dan pendekatan yang sesuai, hubungan ini masih boleh berkembang secara stabil dan matang.
Pertahankan hubungan, ini 5 tip penting untuk membantu anda menjalin hubungan yang lebih sihat dengan pasangan yang memiliki avoidant personality:
Fahami dan jangan terus mengambil secara peribadi
Sikap menjauh atau diam bukan bermakna mereka tidak peduli. Ia selalunya berkait dengan cara mereka melindungi emosi sendiri.
Hormati ruang peribadi mereka
Pasangan avoidant memerlukan masa dan ruang untuk memproses emosi. Memberi ruang adalah tanda hormat, bukan penolakan.

Berkomunikasi secara tenang dan jelas
Gunakan bahasa yang ringkas, terus terang (direct) dan tidak menyalahkan supaya mereka tidak berasa tertekan atau diserang.
Jangan memaksa keintiman emosi
Keintiman perlu dibina perlahan. Paksaan hanya akan membuatkan mereka semakin mengundur diri.
Galakkan perbualan, bukan konfrontasi
Pilih masa yang sesuai untuk berbincang agar mereka tidak terus ‘melarikan’ diri.
Extra! Nilai sama ada hubungan ini sihat untuk anda
Empati tidak seharusnya mengorbankan kesejahteraan diri sendiri. Jika ia sukar dikawal, anda perlu melepaskan pasangan avoidant personality demi kesejahteraan diri. Cari ketenangan yang anda layak mendapatnya.
Baca: Nilai Ringgit Malaysia Menguat, Ini 5 Negara Terbaik Untuk Percutian 2026
