Selain solekan dan fesyen, drama industri tanah air pada tahun 2016 juga mencuri perhatian ramai hingga mencatat tontonan tertinggi!
Walaupun sudah beberapa tahun berlalu, banyak drama 2016 masih menjadi bualan peminat dan sering disebut-sebut sebagai karya klasik moden.
Dari jalan cerita keluarga dan cinta yang rumit, lakonan mantap para pelakon terkenal, drama-drama pada tahun itu benar-benar meninggalkan impak yang tidak dapat dilupakan.
EH! juga ingin throwback drama-drama popular tahun 2016 yang nostalgia dan mengembalikan kenangan manis dunia drama tempatan!
7 Hari Mencintaiku
Drama ini menampilkan barisan pelakon popular tanah air yang berjaya menghidupkan watak-watak utama dengan emosi yang mendalam. Menjadi bualan hangat di media sosial hingga punyai 3 siri dari tahun 2016 sehingga 2022, 7 Hari Mencintaiku ialah drama melodrama romantik Malaysia yang mengisahkan kisah percintaan, pengorbanan, dan konflik dalam rumahtangga.
Drama ini memfokuskan watak utama, Izzah (Siti Saleha) dan Adam (Shukri Yahaya), yang terjebak dalam perasaan cinta dan kebencian selepas satu peristiwa yang mengubah hidup mereka.
Cinta Si Wedding Planner
Cinta Si Wedding Planner mengisahkan Emma, seorang perancang perkahwinan yang profesional tetapi kurang beruntung dalam percintaan dan Arif, lelaki yang sering bertembung dengannya secara tidak sengaja. Dengan elemen komedi romantik, situasi lucu dan babak dramatik, drama ini berjaya memikat hati penonton dari episod pertama hingga akhir.
Drama ini menarik perhatian kerana menampilkan realiti dan cabaran di sebalik industri perkahwinan, yang jarang diketengahkan dalam drama Melayu.
Tundukkan Playboy Itu
Tundukkan Playboy Itu mengisahkan tentang Alya, seorang wanita tabah yang sering menjadi sasaran lelaki playboy dan Reza, seorang lelaki kaya dan tampan yang terkenal dengan sikapnya yang suka mengusik dan bermain cinta.
Watak lelaki playboy menjadi tumpuan penonton kerana perubahan dramatik sepanjang drama dari seorang playboy kepada lelaki setia! Ditambah dengan aadegan romantik, lucu, dan konflik yang menarik, membuat penonton terus menantikan episod seterusnya.
Suri Hati Mr. Pilot
Drama ini adalah adaptasi daripada novel popular dengan tajuk yang sama dan drama ini mendapat tontonan tinggi di TV3, menjadikannya salah satu drama Melayu paling popular pada tahun tayangannya.
Mengisahkan Warda dan Ejaz dipertemukan semula selepas dua tahun, menimbulkan getar rasa dan cemburu dengan kehadiran Daniel dan Razif. Ejaz nekad menikahi Warda, dan perkahwinan mereka mula menumbuhkan cinta. Namun kebahagiaan diuji apabila Muslim kembali menuntut Warda, Inara menyusun rencana, dan curiga memburu Ejaz. Tragedi kemalangan menimpa Ejaz, meragut impian dan cintanya.
Abang Bomba I Love You
Bersiaran sebelum drama Suri Hati Mr. Pilot, Abang Bomba I Love You ialah siri drama televisyen Malaysia 2016 arahan MP Roslin Md Sharif, dibintangi Hisyam Hamid dan Amira Othman. Drama ini mengisahkan Lily yang mengagumi Rayqal, seorang anggota bomba yang dianggapnya sebagai “superhero”, namun Rayqal hanya melihat Lily sebagai adik. Hubungan mereka retak apabila Mawar, kakak Lily, menjalin cinta dengan Rayqal dan memfitnah Lily, menyebabkan Lily membawa diri ke luar negara.
Lebih menarik lagi adalah Hisyam Hamid pernah berkhidmat sebagai anggota bomba selama lapan tahun di Singapura teruja menerima watak sebagai Rayqal kerana ia mengimbau memori lama ketika beliau bertugas dalam bidang itu.
