EH! menyorot gaya lapan aktres ternama dunia yang menggayakan busana Valentino saat melangkah ke karpet merah Oscar, malah ada antaranya meraih kemenangan yang penuh bersejarah.

Dunia fesyen hari ini dikejutkan dengan pemergian legenda Valentino Garavani pada usianya 93 tahun. Sejak melancarkan jenama fesyennya sendiri, Valentino sudah mereka busana untuk ratusan wanita ternama dunia, dari primadona Elizabeth Taylor, first lady ikonik seperti Jacqueline Kennedy hingga ke Puteri Diana termasuklah biduanita generasi baru seperti Beyonce.
SOPHIA LOREN

Sophia Loren menerima anugerah khas di Oscar 1991- Lifetime Achievement awards. Dan sebagai wanita yang berasal dari Rome,Itali, semestinya dia memilih busana dari pereka Itali juga, dan tiada yang lebih layak melainkan Valentino.
JENNIFER GARNER

Aktres ini memilih untuk menyarung gaun vintaj Valentino dari koleksi tahun 1970-an sewaktu dia melangkah ke malam Oscars pada tahun 2004. Gaun toga taffeta jingga ini antara yang menyerlah di karpet merah Anugerah Akademi tahun itu.
CATE BLANCHETT

Cate memilih gaun potongan toga dalam fabrik tafetta yang cukup menyerlah dek pilihan warnanya kala ke Anugerah Akademi 2005. Gaun Valentino ini ternyata membawa tuah buat Cate apabila dia membawa pulang trofi Aktres Pembantu Terbaik malam itu menerusi kecemerlangan aksinya di dalam filem The Aviator.
JENNIFER LOPEZ

Di majlis Oscar 2003, Jennifer Lopez memilih gaun toga dengan potongan berinspirasikan kaftan yang mana rekaan ini adalah remake dari gaun yang digayakan oleh Jacqueline Kennedy sewaktu lawatannya ke Cambodia pada tahun 1967.
SANDRA BULLOCK

Rekaan gaun kemban Valentino menggunakan fabrik renda ini kelihatan unik pada bahagian dada yang lining nya menggunakan ton nude, menjadikan penampilan ini lebih menggoda. “Miss Congeniality’ ini hadir anggun dalam busana ini ke Oscar 2002.
ANNE HATHAWAY

Penuh elegan penampilan ‘The Diary Princess’ ini cukup manis sewaktu ke Oscars 2007. Dia memilih membalut tubuhnya dengan dengan gaun renda dengan perincian reben besar di bahagian dada serta reben kecil di bahagian belakang kaki. Ringkas namun cukup anggun.
REESE WITHERSPOON

Lari dari idea gaun leret, Valentino mereka gaun renda paras buku lali buat Reese Witherspoon untuk penampilannya ke Oscar 2002. Gaun renda hitam ini disaratkan dengan perincian manik di bahagian pinggang ke bawah. Pada tahun ini, Reese Witherspoon baru saja betul-betul mencipta nama menerusi breakthrough role ‘Elle Woods’ bagi filem Legally Blonde.
JULIA ROBERTS

Tidak lemngkap senarai ini tanpa penampilan ini. Gaun hitam Valentino ini menjadi saksi kejayaan Julia Roberts menerima trofi aktres terbaik yang dimilikinya menerusi filem Erin Brockovich di Oscars 2001. Gaun ini ringkas, namun saya percaya pembuatannya pasti rumit.
