Kebangkitan enam kumpulan ini membuktikan bahawa M-Pop bukan lagi sekadar bayangan industri luar. Dengan identiti tersendiri, disiplin tinggi dan sokongan peminat yang semakin kuat, gelombang baharu ini membuka lembaran baru buat muzik Malaysia.
Industri muzik tempatan kini menyaksikan kebangkitan generasi baharu yang tampil dengan identiti segar, koreografi bertenaga dan strategi digital yang bijak. Gelombang baharu M-Pop, satu revolusi yang menggabungkan disiplin ala K-Pop dengan citarasa serta jiwa Malaysia.
EH! himpunkan enam kumpulan yang sedang mencuri perhatian dan membuktikan bahawa masa depan M-Pop semakin cerah.
ALPHA

Antara nama paling hangat diperkatakan, ALPHA (juga dikenali sebagai A7PHA) merupakan kumpulan lelaki Malaysia yang dianggotai tujuh ahli dan telah debut pada tahun 2025 menerusi program realiti Astro, Big Stage Alpha. Mereka mewakili gelombang baharu muzik pop Malaysia (M-Pop) yang menggabungkan identiti tempatan dengan estetika K-pop.
ALPHA tampil dengan konsep futuristik dan produksi bertaraf antarabangsa. Setiap pelancaran single hadir dengan visual sinematik serta koreografi kemas yang memukau. Aura karisma setiap ahli menjadikan mereka pantas meraih peminat setia, khususnya dalam kalangan Gen Z. Dengan strategi media sosial yang agresif, ALPHA membuktikan bahawa M-Pop mampu bergerak seiring arus global.
XONE

Berbekalkan imej feminin dan edgy, XONE mempertaruhkan muzik berentak pop dance yang dipadukan dengan elemen urban pop moden. Identiti muzik mereka lebih ‘bold’ dengan mesej lirik yang dekat dengan realiti anak muda masa kini. Ditambah dengan tarian yang catchy dan penuh gaya, setiap persembahan mereka tampil bertenaga serta mudah melekat di ingatan,
VIISION

Seperti namanya, VIISION hadir dengan visi yang jelas untuk membawa M-Pop ke tahap lebih tinggi. Baru sahaja debut tahun ini, mereka sudah mula mencuri perhatian dengan susunan vokal yang harmoni serta konsep visual yang sofistikated.
Selain kekuatan vokal, VIISION juga tampil dengan koreografi yang kemas dan bertenaga, membuktikan kemampuan mereka bukan sahaja menyanyi tetapi juga menari dengan penuh karisma di pentas.
NverNot

NverNot tampil dengan pendekatan lebih youthful dan eksperimental. Mereka berani bermain dengan genre serta konsep visual yang unik. Personaliti setiap ahli yang autentik membuatkan kumpulan ini mudah didekati peminat, sekali gus membina komuniti fandom yang semakin berkembang.
The Next

Nama yang cukup simbolik, The Next seakan melambangkan generasi baharu yang bersedia mengorak langkah mendominasi industri. Bakal debut tahun ini, mereka tampil dengan imej bersih dan gaya muzik segar yang menepati cita rasa arus perdana. Tidak mustahil The Next bakal muncul sebagai antara wajah utama M-Pop dalam masa terdekat.
OverAll (O.V.A)

OverAll atau O.V.A menampilkan keseimbangan antara vokal mantap dan koreografi dinamik. Mereka membawa imej matang dengan sentuhan street style yang kontemporari. Konsistensi dalam kualiti persembahan menjadikan mereka antara kumpulan yang paling berpotensi untuk bertahan lama dalam industri.
Baca: Mengenal Firdaus Karim, Dari Belakang Tabir ke Pentas Lakonan
