Daripada bakeri pastri berjiwa artisan hingga ruang moden yang sentiasa dipenuhi barisan pelanggan setia, pastri hari ini membawa identiti dan cerita tersendiri.
Pagi di kota sering bermula dengan langkah perlahan menuju bakeri kegemaran, pintu kaca yang ditolak, loceng kecil berdenting dan aroma mentega panas yang terus menyambut deria.
Di sinilah segalanya terasa lebih perlahan, lebih intim.
Pastri bukan sekadar makanan, ia adalah ritual, pelarian singkat daripada hiruk-pikuk harian dan bentuk seni yang dinikmati melalui rasa.
Bukan sahaja memikat mata dan lidah, tetapi juga menyentuh emosi, satu gigitan demi satu, ini 5 bakeri pastri popular kegemaran foodies:
Hot Crush
Berlokasi di Pavilion Kuala Lumpur, Hot Crush berasal dari Shanghai, China, merangkumi rangkaian bakeri pastri moden yang terkenal dengan pendekatan Chinese-style pastries, sesuatu yang terasa segar dan berani dalam landskap bakeri tempatan.
Antara signature items yang sering menjadi buruan termasuk Black Truffle Wellington Croissants yang kaya aroma, cheese walnut bread dengan tekstur seimbang, French egg tarts yang berkrim lembut, serta strawberry cream cake puffs yang ringan tetapi memuaskan. Dari segi suasana, Hot Crush dikenali dengan estetika “soft pink” yang bersih dan feminin, digabungkan dengan konsep self-service yang santai.
KLCG Confectionery & Bakery
Bakeri artisan Muslim-friendly, segalanya bermula sebagai perniagaan keluarga kecil di Taman Midah, KLCG perlahan-lahan menemui momentumnya sebelum mencuri perhatian ramai menerusi kemunculan ikoniknya di Kuala Lumpur City Gallery (Dataran Merdeka) pada tahun 2020.
KLCG terkenal dengan cronuts viral mereka, bermentega, berlapis dan dihasilkan dengan teknik yang teliti. Antara signature items yang sering menjadi rebutan termasuk Pistachio Supreme, Strawberry & Creme, Pain Suisse Hazelnut Praline, croissant premium serta artisanal sourdough yang dibuat segar setiap hari.
Être Patisserie
Untuk penggemar pastri yang menghargai seni dan teknik, Être Patisserie membawa pengalaman French-inspired dessert cafe yang eksklusif ke Malaysia. Diasaskan oleh Chef Ann Lee, graduan Le Cordon Bleu Paris dan bekas chef pastri di restoran bertaraf Michelin, Être Patisserie menggabungkan kepakaran klasik Perancis dengan kreativiti kontemporari untuk menghasilkan pastri artisan yang memukau deria.
Être Patisserie terkenal dengan pastri artisan berkualiti tinggi, termasuk signature items seperti Raspberry Pistachio, Guanaja, dan Pink Guava. Menu mereka menekankan pastri Perancis yang halus, petit gâteaux, serta ciptaan kreatif yang disajikan dengan seni.
Lacher Patisserie
Apabila berbicara tentang bakeri pastri Perancis yang memadukan craftsmanship klasik dan kreativiti moden, Lachér Patisserie ialah sebuah nama yang sering muncul dalam perbualan foodies.
Antara signature pilihan popular wajib anda cuba, Petit gateaux seperti Valrhona Caraibe Hazelnut Praline dan Pistachio Raspberry menonjolkan lapisan rasa dan tekstur yang seimbang, manakala tart buah seperti Kochi Yuzu Mango Tart memikat dengan kesegaran yang ringan tapi meninggalkan kesan mendalam.
Grumpy Bagels
Diasaskan oleh Claire Tan, bekas pramugari Emirates yang berhenti selepas lima tahun kerjaya dan menukar arah kepada perniagaan bakeri semasa pandemik, Grumpy Bagels kini menjadi destinasi wajib bagi foodies yang menghargai hand-rolled, soft, and chewy Japanese-style bagels.
Menu di Grumpy Bagels menawarkan lebih daripada 13 jenis bagel, termasuk variasi unik seperti Matcha Red Bean, Triple Chocolate, dan Garlic Cream Cheese, semuanya dihasilkan segar setiap hari. Antara signature items yang menjadi kegemaran ialah Seoul Grumpy dengan ayam goreng Korea yang rangup, Grilled Cheese Bagel dengan sup tomato hangat, serta pelbagai kombinasi cream cheese yang kreatif.










