Bad Bunny sekali lagi membuktikan statusnya sebagai ikon global apabila mencipta sejarah sebagai artis Latino solo pertama yang membuat persembahan di Super Bowl Halftime Show yang berlangsung di Levi’s Stadium, Santa Clara, California.
Detik bersejarah ini bukan sahaja mengangkat muzik Latin ke pentas dunia, malah mengukuhkan pengaruh budaya Puerto Rico dalam arus perdana hiburan antarabangsa.

Artis kelahiran Puerto Rico, Bad Bunny menggegarkan stadium dengan set persembahan penuh tenaga, menampilkan deretan lagu hit daripada pelbagai album ikoniknya. Antaranya termasuk karya daripada album pemenang Anugerah Grammy, DeBÍ TiRAR MáS FOToS (2025), serta album fenomena Un Verano Sin Ti (2022) yang terus menjadi kegemaran peminat.
Walaupun persembahan itu mencuri perhatian atas pelbagai sebab, termasuk kemunculan mengejut Lady Gaga dan Ricky Martin, satu perkara yang benar-benar membuat peminat teruja ialah penampilan fesyen Bad Bunny. Sejak awal kerjayanya, penyanyi dan penerbit ini memang dikenali kerana keberaniannya bereksperimen dengan gaya yang unik dan di luar kebiasaan.
Untuk malam berprestij itu, Bad Bunny memilih gaya yang kelihatan ringkas namun sarat dengan simbolik. Busana serba krim rekaan Zara, digayakan oleh kolaborator setianya Storm Pablo dan Marvin Douglas Linares, menampilkan kemeja berkolar lengkap bertali leher, sweater lengan pendek ala jersi bola sepak, sarung tangan, seluar dan kasut sukan, semuanya dalam tona krim dari kepala hingga kaki.
Menarik perhatian ramai, nombor 64 dan nama “OCASIO” dicetak pada sweater tersebut, merujuk kepada nama sebenar Bad Bunny, Benito Antonio Martínez Ocasio. Menurut spekulasi USA Today, nombor 64 mungkin berkait dengan tahun kelahiran ibunya, Lysaurie Ocasio (1964), walaupun makna sebenar di sebalik angka itu masih belum disahkan.
Dari sudut aksesori, Vogue melaporkan Bad Bunny turut mengenakan jam tangan mewah Audemars Piguet Royal Oakemas kuning 18 karat dengan dail batu malachite, sentuhan eksklusif yang melengkapkan keseluruhan gayanya. Di pertengahan persembahan, beliau sempat menyarung blazer ketika menari bersama Lady Gaga, sebelum menanggalkannya semula untuk menutup persembahan dengan penuh gaya.





