Nama Firdaus Karim semakin dikenali hari ini menerusi karya lakonannya, drama TV3 Doa Yang Terlindung, disebalik keimanan yang dipaparkan, ada rahsia gelap yang tersembunyi.
Namun perjalanan seni Firdaus Karim bermula jauh lebih awal dan bukan terus di hadapan kamera.
Dilahirkan di Kangar, Perlis, Firdaus membesar di Alor Setar, Kedah, sebuah latar yang membentuk keperibadian tenang dan pemerhati yang masih kekal dalam dirinya hingga kini.
Berusia 44 tahun, Firdaus merupakan graduan Ijazah Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau menamatkan Diploma Seni Halus sekitar tahun 2003 sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Fine Arts) di UiTM Shah Alam, yang diselesaikan pada tahun 2005. Sepanjang tempoh pengajian, Firdaus sempat merasai pengalaman di beberapa kampus termasuk Manjung dan Sri Iskandar, Perak satu fasa penting yang membentuk kefahaman seninya secara menyeluruh.
Bermula di belakang tabir
Penglibatan Firdaus dalam industri seni profesional bermula sekitar tahun 2010, namun bukan sebagai pelakon. Beliau memulakan langkah sebagai tenaga kreatif di belakang tabir dalam bidang production design, terlibat dalam pelbagai projek komersial, drama dan filem.
Antara filem yang pernah menyaksikan sentuhan kreatifnya ialah Terbaik Dari Langit arahan Nik Amir Mustapha, Sejoli arahan Usman Ali, serta Kami Histeria arahan Shamyl Othman. Pengalaman bekerja di set filem ini memberinya kefahaman mendalam tentang struktur penceritaan visual, emosi, dan dinamika produksi, satu kelebihan yang kelak menjadi aset besar dalam lakonannya.
Seorang yang social awkward, tetapi berani di ruang kreatif dan kejujuran seni, Firdaus Karim meluaskan sayap lakonannya.
1. “Doa Yang Terlindung” dilihat sebagai satu breakthrough dalam kerjaya kamu. Bila kamu sedar watak Ustaz Irfan ini sesuatu yang istimewa?
Segalanya bermula apabila pihak Creative Skill Solution, iaitu Kak Suriati Siddiq dan Azlina Sanimin, menghubungi saya untuk berbincang mengenai projek ini. Ketika itu skrip belum siap sepenuhnya, masih di peringkat sinopsis dan baru hendak dipitch kepada TV3.
Apabila mereka berkongsi hala tuju cerita, saya terus tertarik kerana kelainannya, drama ini mahu menampilkan leading antagonist, sesuatu yang jarang diteroka dalam drama arus perdana. Dari situ, saya nampak naskhah ini sangat kuat dan relevan untuk dikongsi dengan masyarakat.
Watak Ustaz Irfan pula mempunyai lapisan emosi dan karakter yang kompleks. Bagi saya, naskhah inilah ‘bintang sebenar’ drama ini, dan watak Irfan menjadi tunjang penting yang menggerakkan keseluruhan cerita. Sejak awal, saya sudah nampak keistimewaannya, walaupun tidak menjangka ia akan berkembang menjadi fenomena seperti sekarang.
2. Apakah cabaran terbesar untuk ‘stepping into’ watak Ustaz Irfan?
Cabaran utamanya ialah menguasai acting range yang sangat luas. Ustaz Irfan seorang yang manipulatif, narcissistic dan bijak, tetapi dalam masa yang sama memiliki sisi lemah-lembut dari segi tutur kata dan perilaku.
Gabungan ini meletakkan wataknya di zon pertengahan, bukan sepenuhnya jahat, bukan sepenuhnya baik. Menghidupkan watak ini secara jujur, ia merupakan cabaran paling menarik bagi saya. Jika berjaya dikuasai, ia mampu memberi warna yang sangat kuat kepada watak ini.

3. Bagaimana watak ini mengubah cara kamu melihat diri sebagai seorang pelakon?
Watak Ustaz Irfan membuka ruang pembelajaran yang besar untuk saya, terutamanya dalam membezakan antara karakter dan diri sendiri. Ia menuntut saya bermain di banyak lapisan emosi daripada sisi yang sangat gelap hingga ke sisi yang sangat ‘putih’.
Disebabkan drama ini mempunyai perjalanan watak yang panjang, perkembangan karakter menjadi sangat realistik. Dari situ, saya belajar kepentingan ‘melepaskan’ watak selepas selesai bekerja, tahu apa yang perlu diambil sebagai pengajaran dan apa yang perlu ditinggalkan demi kembali ke realiti.
4. Adakah kamu merasakan tekanan selepas kejayaan siri ini?
Sejujurnya, saya tidak merasakan tekanan. Saya percaya setiap projek mempunyai kekuatan tersendiri. Kita mungkin tidak mampu mengulang kejayaan yang sama, tetapi projek seterusnya boleh memberi impak yang berbeza kepada masyarakat.
Mentaliti ini penting supaya saya tidak terikat dengan keperluan untuk ‘mengulang formula’ yang sama, dan ia menjadikan setiap projek lebih adil untuk dinilai atas kekuatannya sendiri.
5. Bagaimana kamu ‘unwind’ apabila tidak berada di set penggambaran?
Kebanyakannya saya berehat di rumah. Kadang-kadang emosi kita tidak stabil tanpa kita sedari, jadi saya lebih selesa ‘decompress’ terlebih dahulu.
Apabila rasa sudah cukup tenang, barulah saya keluar bertemu rakan-rakan terdekat untuk minum kopi dan bertukar pandangan tentang kerja dan kehidupan. Ia membantu dari segi mental dan emosi.

6. Apakah definisi ‘perfect day’ untuk Firdaus Karim?
Bagi saya, hari yang sempurna ialah hari yang seimbang, tidak berlebihan dan tidak berkurangan. Selagi saya tahu bila perlu berhenti dan tidak memaksa diri, itu sudah cukup sempurna. Kesederhanaan itulah kuncinya.
7. Selain berlakon, apa yang memberi inspirasi kepada kamu?
Saya berlatarbelakangkan seni halus, jadi melukis dan membuat lakaran merupakan sumber inspirasi utama saya. Melalui lukisan, saya dapat meneroka topik dan emosi secara lebih tenang dalam ruang 2D, berbeza dengan lakonan yang bersifat 3D.
Kadang-kadang, esen karakter atau subjek yang saya temui dalam lakonan akan saya terjemahkan semula dalam bentuk lukisan, bukan secara literal, tetapi dari segi jiwa dan rasa.
8. Sejauh mana pentingnya self-care dan rutin yang diamalkan?
Self-care sangat penting, terutamanya dengan jadual penggambaran yang mengganggu body clock. Saya cuba mengawal pemakanan dengan mengurangkan makanan berminyak, tidak makan berlebihan dan kadang-kadang tidak mengambil nasi pada waktu siang untuk elakkan mengantuk.
Saya juga mengambil suplemen asas seperti vitamin D dan magnesium. Senaman pula memang penting, walaupun saya masih dalam proses membina rutin yang konsisten. Bagi saya, tiga disiplin utama ialah menjaga pemakanan, tidur yang cukup dan bersenam.

9. Siapakah individu yang menjadi inspirasi terbesar dalam hidup kamu?
Inspirasi terbesar saya ialah arwah ayah dan ibu saya. Walaupun kerjaya kami berbeza, tetapi cara mereka berfikir, bersosial dan menangani masalah banyak membentuk diri saya sejak kecil. Apa yang baik saya cuba contohi, dan apa yang boleh diperbaiki, saya perbaiki.
10. Adakah anugerah penting dalam kerjaya seorang pelakon?
Bagi saya, anugerah itu penting, tetapi ia perlu disertai dengan tiga elemen utama adab, ilmu dan disiplin. Bakat tanpa elemen ini hanya akan disia-siakan.
Anugerah sebenar ialah bagaimana kita membawa diri, mencari ilmu untuk menggunakan bakat dengan betul, dan menjaga disiplin dalam setiap aspek kehidupan dan kerjaya.
Baca: Eyka Farhana & Akhyar Rashid Bakal Timang Cahaya Mata Pertama
