Setiap kali menjelang Raya, pemilihan hijab merupakan antara perkara yang paling sukar untuk membuat keputusan. Selain baju kurung atau kebaya, gaya hijab juga memainkan peranan besar dalam menyempurnakan keseluruhan penampilan. Tahun ini, trend hijab Raya dilihat menemukan gabungan gaya klasik dan sentuhan moden mengikut personaliti masing-masing.
Daripada gaya yang ringkas dan effortless hinggalah lilitan yang lebih kemas dan berstruktur, hadir dengan karakter tersendiri. EH! senaraikan tujuh trend hijab Raya yang pastinya akan menjadi perhatian dan boleh dijadikan inspirasi untuk tampil lebih bergaya di pagi Syawal nanti.
Lace Shawl

Dengan kemasan renda pada hujung atau keliling shawl, gaya yang satu ini sangat sesuai untuk Hari Raya. Baru-baru ini, lace shawl menjadi bualan ramai dan tular di media sosial serta ramai juga meramal bahawa ia akan menjadi gaya paling popular pada pagi Raya nanti. Gaya yang selalu dibuat apabila mengenakan lace shawl ini sama ada ikat belakang ataupun selempang bahu. Gaya hijab ini membuatkan pemakainya tampak lebih klasik.
Viscose Printed

Viscose Printed merujuk kepada sejenis rayon yang mempunyai corak atau motif yang dicetak di atasnya. Kebanyakan corak yang selalu digemari ramai adalah corak bunga atau corak abstrak. Hijab ini mempunyai tekstur yang mewah di mana handfeel yang halus, lembut dan berkilat menyerupai kain sutera tetapi dengan harga yang lebih berpatutan. Kebanyakan material campuran seperti cotton viscose bersifat kurang berkedut, menjadikannya praktikal untuk Raya
Manik Shawl

Dihiasi dengan perincian manik atau mutiara yang dijahit secara halus, trend ini merupakan evolusi fesyen “mak-mak” dari era 90-an yang kini kembali tular dan menjadi kegemaran golongan muda serta mempengaruhi media sosial. Jenis manik shawl yang popular antaranya ialah gabungan renda dan manik, gabungan kristal dan manik serta minimalist beaded shawl. Gaya pemakaiannya selalunya difokuskan untuk mempamerkan perincian manik tersebut, misalnya dengan cara menyilangkan hujung manik ke atas bahu atau melilitnya secara di bahagian muka.
Pashmina

Lebih kepada gaya-gaya Arabic, pashmina shawl juga merupakan salah satu trend hijab yang pasti akan naik untuk Raya 2026 ini. Material yang lembut seperti selimut dan corak yang menarik, hijab ini sesuai kepada sesiapa yang mahu tampil lebih menyerlah dan anggun. Untuk gaya hijab ini, ramai mengenakan gaya flowy kerana nampak terletak dan cantik apabila dililit.
Modal Shawl

Seperti namanya, selendang ini diperbuat daripada fabrik Modal, sering dianggap sebagai versi premium dari kain cotton atau viscose kerana teksturnya yang lebih berkualiti dan lembut. Gaya yang paling popular apabila mengenakan modal shawl adalah clean and sleek di mana shawl ini diikat di belakang leher dengan kemas dan dipadankan dengan kain selendang bahu.
Bawal Sulam

Bawal sulam adalah tudung bawal yang dihiasi dengan perincian sulaman pada bahagian tertentu. Ia merupakan gabungan elemen tradisional dan moden yang memberikan kesan anggun serta eksklusif kepada pemakainya. Sulamannya biasa terletak di sekeliling tepi tudung ataupun belakang tudung, memberikan efek yang lebih menonjol dan menyerlah. Walaupun hanya dengan menggunakan gaya ringkas, bawal sulam tetap akan membuat pemakai tampak lebih eksklusif.
Bawal Selapis

Bawal selapis ini khas untuk sesiapa yang mahu memakai bawal tetapi tidak sesuai kerana bentuk mukanya. Ini kerana, bawal selapis dicipta seakan-akan seperti shawl tetapi lebih convenient dan dijamin cantik dan flowy untuk Raya 2026. Bucu tudung yang curve memberikan kesan beralun serta kain chiffon yang tidak terlampau berat dan bahagian dahi yang senang dibentuk, bawal selapis ini sangat sesuai untuk menjadi trend hijab Raya tahun ini.
