Raya bukan sekadar tentang baju baharu dan juadah enak, tetapi juga saat yang dinanti-nantikan untuk menonton iklan-iklan istimewa yang hanya muncul setahun sekali. Setiap tahun, ramai yang tampil dengan idea kreatif yang bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya menyentuh emosi penonton.
Daripada kisah yang mencuit hati hingga yang mengundang air mata, iklan Raya sering kali meninggalkan kesan mendalam dan menjadi perbualan ramai. Ini 9 iklan all time fav pilihan EH! yang bukan sahaja ikonik, malah terus kekal di hati hingga ke hari ini.
Astro 2018, Gaya Raya Paling Ori

Raya mesti nak kena lain dari yang lain, sama konsep seperti apa yang dipersembahkan oleh Astro untuk iklan Raya 2018. Wak Nik dan Sabri Yunus sebagai pelakon utama menunjukkan yang walaupun kita suka kelainan tetapi perlu juga untuk hormat tradisi supaya nilai dan makna sebenar Hari Raya itu terus kekal, tidak hilang ditelan arus perubahan.
Malam Filem 2019, Kuih Bangkit

Malam Filem 2019, Kuih Bangkit bukan seperti iklan Raya biasa. Memilih genre seram berserta sedikit elemen komedi, tampil sangat fresh dan menunjukkan pendekatan yang open-minded, menjadikan pengalaman menonton lebih menarik dan tidak dijangka. Kalau yang suka cerita seram, mesti akan suka iklan ini.

Bank Rakyat 2025, SALAM menunjukkan betapa pentingnya menghargai keluarga. Melihat seorang budak kecil menyalam semua orang kerana masih mencari ayahnya, Beto Kusyairy tersedar, lalu menyalam bapanya dan meminta maaf mengangkat mesej bahawa hargailah insan tersayang selagi mereka ada.

Iklan Raya BERNAS 2012, The Journey, antara iklan ikonik yang menyentuh hati di Malaysia. Mengisahkan Ahmad dan Fizi, dua kanak-kanak yatim piatu dengan kekurangan fizikal, namun bersemangat luar biasa. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam perjalanan pulang ke kampung halaman pada malam Raya, keazaman dan kasih sayang mereka menunjukkan betapa kuatnya semangat keluarga dan cinta yang tidak berbelah bahagi.

Iklan Raya Tenaga Nasional Berhad 2022 Raya Macam Cara tunjuk macam-macam cara keluarga sambut kepulangan ahli keluarga tapi semuanya bersatu dengan kegembiraan. Dengan watak ikonik kucing Jero dan loghat dari seluruh Malaysia, iklan ini berjaya tangkap rasa balik kampung sebenar dan mendapat sambutan hangat.
TNB 2018, Rumah Epik Fantastik

Iklan Raya TNB 2018 Rumah Epik Fantastik memaparkan kelam-kabut keluarga besar yang berkumpul dalam rumah kampung yang kecil. Dari bilik air yang berebut hingga ruang makan yang terhad, pelbagai situasi kelakar dan relatable berlaku. Iklan ini tetap dapat menyampaikan mesej penting tentang toleransi dan keakraban kekeluargaan, kerana Syawal sebenar adalah apabila semua dapat berkumpul dan berkongsi kegembiraan bersama.

PETRONAS 2021 memperkenalkan Syukur Raya dalam bentuk animasi sepenuhnya susulan kekangan pandemik COVID-19. Filem web Raya pertama PETRONAS ini menekankan nilai belas kasihan dan kebaikan di tengah cabaran norma baharu. Walaupun menggunakan watak kartun, mesejnya tetap mendalam dan berjaya menyentuh hati penonton.
Petronas 2003, Al-Kisah Janda Beranak Tujuh

Dengan mempunyai sebanyak 7 anak lelaki di sebuah perkampungan yang kecil di mana mereka jual beli di atas air atau di seberang. Semua tahu, bahan masakan paling penting untuk juadah raya adalah daging lembu tetapi mereka terlupa untuk sediakan. Iklan ini memberi impak nostalgia dan perasaan kelam-kabut untuk membuat persediaan Raya.
Elrah 2024, Tak Pernah Suka Mak

Dibintangi oleh barisan-barisan artis yang popular dan trending, Elrah mempersembahkan iklan Raya yang bertajuk Tak Pernah Suka Mak. Sebuah filem pendek yang sangat tular kerana jalan ceritanya yang menyentuh hati dan sarat dengan emosi. Diinspirasikan daripada kisah sebenar pengasas Elrah Exclusive, El Azman, iklan ini mengisahkan konflik hubungan antara seorang anak, lakonan Beto Kusyairy dengan ibunya, Fatimah Abu Bakar. Iklan ini menonjolkan pengorbanan seorang ibu dan penyesalan anak yang baru sedar nilai kasih sayangnya selepas semuanya terlambat.
