Ada yang membuat peminat tertanya-tanya sama ada sambungan itu akan wujud atau tidak… tetapi akhirnya kembali dengan comeback yang cukup epik!
Jika kita berbicara tentang filem sekuel, biasanya penonton hanya perlu tunggu dua atau tiga tahun sahaja sebelum sambungannya keluar di pawagam.
Tetapi ada juga beberapa filem yang buat peminat menunggu terlalu lama, bukan setahun dua, tetapi sampai berdekad lamanya!
Ada yang disebabkan masalah produksi, perubahan studio, skrip yang mengambil masa lama untuk disiapkan, malah ada juga kerana pelakon asal sudah meningkat usia sebelum projek diteruskan.
Jom tonton 7 filem dengan jarak masa sekuel paling lama dalam sejarah industri filem.

1. Puss in Boots (11 tahun)
Si kucing berkasut yang penuh gaya ini kembali mencuri perhatian menerusi sekuelnya, Puss in Boots: The Last Wish selepas 11 tahun. Walaupun jaraknya agak lama untuk filem animasi, penantian peminat nyata berbaloi kerana filem ini menerima pujian hebat daripada pengkritik dan penonton, malah dianggap antara animasi terbaik tahun tersebut.

2. The Incredibles (14 tahun)
Filem animasi adiwira kegemaran ramai ini akhirnya mendapat sambungan menerusi Incredibles 2 selepas 14 tahun. Ramai peminat yang membesar bersama keluarga Parr tidak menyangka mereka perlu menunggu lebih sedekad untuk melihat kesinambungan kisah adiwira ini, dan ternyata sekuelnya berjaya mencatat kutipan box office yang luar biasa.

3. The Devil Wears Prada (20 tahun)
Ikonik! Menampilkan lakonan hebat Meryl Streep dan Anne Hathaway ini akhirnya bakal kembali dengan sekuel ke2 selepas hampir dua dekad. Sejak tayangannya pada 2006, kisah dunia majalah fesyen yang penuh drama ini kekal menjadi rujukan budaya pop dan sering ditonton semula oleh peminat.

4. Tron (28 tahun)
Filem sci-fi klasik ini mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat sambungan melalui Tron: Legacy selepas 28 tahun. Walaupun teknologi filem sudah jauh berubah sejak versi asal, sekuelnya tampil dengan visual futuristik yang memukau dan berjaya memperkenalkan dunia Tron kepada generasi baharu.

5. Beetlejuice (36 tahun)
Selepas lebih tiga dekad, filem komedi seram arahan Tim Burton ini kembali dengan sekuel berjudul Beetlejuice Beetlejuice. Peminat lama pastinya teruja melihat karakter ikonik lakonan Michael Keaton kembali menghantui layar perak selepas 36 tahun.

6. Top Gun (36 tahun)
Antara comeback paling berjaya dalam sejarah Hollywood ialah Top Gun: Maverick. Selepas 36 tahun, watak juruterbang legenda lakonan Tom Cruise kembali ke layar perak dan berjaya mencetuskan fenomena global serta meraih kutipan box office yang luar biasa. Ps, Tom Cruise tetap kelihatan muda dan hot!

7. Mary Poppins (54 tahun)
Filem klasik Disney ini memegang rekod antara jarak sekuel paling lama apabila akhirnya mendapat sambungan melalui Mary Poppins Returns selepas 54 tahun. Kali ini, watak pengasuh ajaib itu dibawakan oleh Emily Blunt, sekali gus menghidupkan semula nostalgia filem muzikal legenda ini.
