Salah satu risiko utama ketika cuaca panas ialah strok haba (heatstroke), iaitu keadaan kecemasan apabila suhu badan meningkat melebihi tahap normal dan badan gagal menyejukkan diri.
Jika tidak ditangani segera, ia boleh menyebabkan kerosakan organ, pengsan, malah boleh mengancam nyawa!
Lindungi diri dari strok haba (heatstroke):
1. Minum air dengan kerap
Pastikan tubuh sentiasa terhidrat dengan minum air secukupnya sepanjang hari. Elakkan menunggu sehingga terasa dahaga kerana itu tanda badan sudah mula kekurangan air.
2. Elakkan aktiviti luar pada waktu tengah hari
Waktu antara 11 pagi hingga 4 petang biasanya merupakan tempoh suhu paling tinggi. Jika boleh, hadkan aktiviti luar pada waktu ini untuk mengurangkan risiko terdedah kepada panas melampau.
3. Pakai pakaian yang ringan dan longgar
Pilih pakaian yang diperbuat daripada fabrik ringan seperti kapas serta berwarna cerah. Pakaian sebegini membantu pengaliran udara dan mengurangkan penyerapan haba.

4. Gunakan pelindung matahari
Topi lebar, payung, atau cermin mata hitam boleh membantu melindungi diri daripada pendedahan terus kepada cahaya matahari, sekali gus mengurangkan tekanan haba pada tubuh.
5. Kerap berehat di tempat teduh
Jika perlu berada di luar, pastikan anda mengambil rehat secara berkala di kawasan yang teduh atau berhawa dingin bagi membantu badan menyejukkan diri.
6. Kenali tanda awal
Antara tanda awal termasuk pening, sakit kepala, loya, kulit terasa sangat panas, dan keletihan melampau. Jika mengalami simptom ini, segera berhenti melakukan aktiviti dan cari tempat yang lebih sejuk.
7. Elakkan minuman berkafein dan bergula tinggi
Minuman seperti kopi, teh berkafein atau minuman bergula boleh menyebabkan badan kehilangan lebih banyak cecair. Sebaiknya pilih air kosong atau minuman buahan.
Baca: Cuaca Panas Membahang, Ini Benda Yang Perlu Ada Bersama Anda
