Margot Robbie tampil memukau dengan ilusi “melihat dirinya berganda” dalam kempen terbaharu beg tangan Chanel 25, yang turut memperkenalkan rona baharu bagi beg ikonik CHANEL 25 Mini.
Dalam satu kolaborasi yang memukau dan penuh gaya, Margot Robbie tampil mencuri perhatian dalam kempen terbaharu rumah fesyen mewah Chanel. Kali ini, bintang Hollywood itu seolah-olah “melihat dirinya dua kali” menerusi visual kempen beg tangan CHANEL 25 yang diinspirasikan dengan sentuhan sinematik dan imaginatif.
Diarahkan oleh pengarah tersohor Michel Gondry, filem kempen ini membawa penonton menyusuri lanskap mimpi di kota Paris, sebuah penghormatan artistik kepada ikon pop legenda Kylie Minogue, yang sememangnya menjadi inspirasi lama buat Robbie.
Video kempen ini tampil sebagai interpretasi moden kepada muzik video klasik Kylie Minogue, “Come Into My World” (2002), yang kini diberi nafas baharu dengan sentuhan kontemporari. Dalam naratif visual yang mempesona, Margot Robbie dilihat berjalan di jalanan Paris sambil bertemu pelbagai versi dirinya sendiri, setiap satu menggayakan variasi berbeza beg CHANEL 25. Momen ini bukan sahaja artistik, malah sarat dengan elemen nostalgia yang memikat.
Menambahkan lagi daya tarikan, Kylie Minogue sendiri muncul secara mengejut dalam kempen ini, sebuah cameo yang bukan sahaja melengkapkan penghormatan tersebut, tetapi juga mengikat keseluruhan konsep dengan penuh elegan dan simbolik.
Kempen bersama Margot Robbie ini hadir susulan pelancaran CHANEL pada tahun 2025, yang sebelum ini menyaksikan kemunculan dua ikon global, Dua Lipa dan Jennie, memperkenalkan siluet baharu beg tersebut buat pertama kali.
Diperkenalkan pada tahun 2025, beg CHANEL 25 menampilkan siluet berinspirasikan gaya hobo yang diperbuat daripada kulit berquilt mewah, lengkap dengan rantai berjalin yang menjadi signatur klasik Chanel. Tersedia dalam empat saiz berbeza, kempen terbaharu ini memberi tumpuan khusus kepada versi “Mini”, ditawarkan dalam rona burgundy pekat, khaki gelap dan ecru klasik yang sofistikated.
Baca: 5 Sebab Mengapa Koleksi Percutian Chanel Patut Dimiliki






