Generasi kini boleh dikatakan bernasib baik kerana mempunyai rujukan di dalam menghasilkan rekaan fesyen. Setuju atau tidak sekiranya kami katakan tiada trend baru yang malar segar di dalam industri fesyen kini, hanya kreativiti pereka mengubah yang lama dengan menyuntik sedikit elemen yang baru untuk menjadikannya trend terkini. Jom kita semak fail gaya kami di bawah ini di mana kami sempat menyenaraikan beberapa gaya yang popular masa kini yang dicedok daripada zaman nenek moyang kita dan telah dimodifikasi menjadi sesuatu yang kontemporari.
Skirt Pensil
Rekaan skirt pensel ini diperkenalkan oleh Christian Dior pada lewat tahun 40an dan mula popular sekitar awal tahun 50an. Bermula dari tahun lepas, trend ini sudah kembali mewarnai dunia fesyen dunia.
Peplum
Anda pasti setuju dengan kami apabila kami mengatakan peplum merupakan di antara gaya terhangat pada masa kini, terutamanya di kalangan ‘hijabster’. Rekaan peplum diperkenalkan pada tahun 40an dan kembali menjadi trend pada tahun 80an. Kini peplum kembali ke pasaran dengan rekaan yang bersesuaian dengan trend masa kini.
Cermin Mata
Selari dengan perkembangan gaya hipster di seluruh dunia, cermin mata hippie John Lennon sudah kembali menjadi trend terhangat masa kini. Bukan itu sahaja, cermin mata cat-eye yang pernah dipopularkan oleh Marilyn Monroe, Audrey Hepburn dan Elizabeth Taylor hangat terjual pada tahun ini.
High Waisted Jeans
Dikatakan trend celana denim berpotongan pinggang tinggi ini dimulakan pada sekitar tahun 40an oleh jenama jean terkenal, Levis, setelah kebanyakan wanita sudah mula keluar bekerja dan merasakan rekaan ini sesuai dengan mereka. Sejak tahun lepas, seluar jean berpinggang tinggi sudah mula dikenakan oleh anak muda masa kini.
Skirt Maxi Kembang
Ini merupakan di antara rekaan paling lama di dalam sejarah fesyen. Anda pasti dapat lihat di dalam filem-filem klasik, rata-rata wanita ketika pada tahun 1900 menggunakan skirt kembang sehingga potongan skirt hobble diperkenalkan. Kami boleh katakana skirt maksi merupakan trend sepanjang zaman kerana ia dimodifikasi setiap dekad untuk menjadikannya yang ‘terkini’. Dari zaman Audrey Hepburn sehingga zaman kegemilangan filem Grease dan kini ia kembali lagi dengan rekaan yang lebih moden.