Tidak salah rasanya untuk kita bersama-sama menyahut cabaran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) dalam mencipta suasana kota yang lebih hijau dan segar di Kuala Lumpur!
Melalui kempen 10,000 Ekspresi Kuala Lumpur Hijau, kementerian dengan kerjasama Hotel Federal dan Hotel Capitol yang diadakan baru-baru ini di Hotel Federal, Jalan Bukit Bintang, di sini, dilihat komited dalam menyedarkan lagi orang ramai untuk menanam lebih banyak pokok di sekitar bandaraya.
Kempen sempena program Local Agenda 21 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga dianjurkan bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) iaitu persatuan generasi muda yang bergiat aktif menjalani aktiviti penjagaan alam sekitar.
Hadir sama menyempurnakan pelancaran, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) kementerian itu, Datuk Bakarudin Othman, Pengurus Besar Hotel Federal, Simon Leong dan Presiden YAWA, Khadijah Abdul Rahman.