Visi serta bakat yang dimiliki pemuzik muda ini menjadikan dia satu antara berjuta yang kita boleh gelar sebagai a must watch musical talent yang sentiasa hadir dengan idea yang penuh kejutan.
CERITAKAN BAGAIMANA BIDANG MUZIK MENARIK MINAT ANDA?
Ketika berada di zaman Maktab Mahmud, Alor Setar dulu saya amat teruja untuk mendalami vokal harmoni dan dengan nasyid saya bermula sebelum mengenal instrumen gitar daripada abang saya. Dari situ minat dipupuk dan perlahan saya mempelajari guitar tabulatures (nota muzik) serta menubuhkan kugiran bersama rakan-rakan di maktab. Bersama kugiran tersebut saya bertindak sebagai drummer sebelum serius bermain gitar pada usia 18 tahun. Setelah tamat SPM saya menyambung pelajaran di Akademi Seni Kebangsaan.
ANDA DAN MUZIK?
Saya sifatkan saya seorang observant. Saya banyak melihat cara pemuzik tempatan bekerja dan mendengar karya mereka. Dari sini saya menanam semangat untuk membuka satu ruang baru yang hadir dengan idea muzik segar serta di luar normal tipikal muzik Malaysia. Sejak mula untuk serius pada tahun 2003 sehingga kini saya sentiasa tidak lupa untuk melakukan kajian agar sentiasa tampil dengan idea yang segar dan pada masa yang sama mengekalkan sentuhan tersendiri biar apa pun genre muzik yang diterbitkan.
KAMAR SENI
Saya mendirikan Kamar Seni pada 2008 sebagai tempat untuk saya dan rakan-rakan pemuzik lain berkarya. Studio ini tidak terlalu dikomersilkan kerana saya mahu ia menjadi sebuah pusat sehenti buat pemuzik yang benar-benar ingin berkongsi karya muzik yang bagus.
DARI COCO KE ELYANA KINI HUJAN DAN YUNA. ANDA JUGA MENGEPALAI PRODUKSI ALBUM IMAM MUDA. TRANSISI KERJAYA ANDA DILIHAT LUAR BIASA. DAH CAPAI KLIMAKS DALAM KERJAYA? ATAU MASIH ADA HAL YANG BELUM BUAT ANDA PUAS?
Kepuasan bagi saya apabila melihat orang menghargai apa yang saya lakukan. Itu sudah lebih daripada cukup! Tidak akan ada klimaks dalam kerjaya seorang pemuzik kerana setiap daripada kami mahu berkongsi karya yang dihasilkan selagi boleh dan mungkin ke peringkat antarabangsa. Setiap karya akan memberi kepuasan peribadi dan tersendiri.
NASIHAT BUAT ANAK MUDA YANG INGIN MELIBATKAN DIRI DALAM BIDANG MUZIK
Music is all about passion and practice! Kalau anda betul-betul serius untuk melibatkan diri dalam bidang muzik syarat utamanya harus bersabar dan tidak putus asa. Rezeki akan datang sendiri bila kita ikhlas dalam berkarya. Saya sendiri berpegang pada prinsip 4E iaitu Experiment, Expand, Explore & Express. Perlu tahu apa yang anda mahu dan jangan lakukan kerana glamor. Jika itu tujuannya carilah pekerjaan lain kerana muzik adalah magis yang melibatkan perasaan.