Teks: Hafizan Mohd
Serkap jarang, suka jaga tepi kain orang dan apapun jua terma diberi ia bagai sudah menjadi lumrah manusia. Namun hakikatnya siapa saja tidak bercakap tentang orang lain? Walau kita semua tahu perihal ini sesuatu yang memalukan namun bak kata seorang penulis, Cecile Gueret “What’s behind these shameful is what I call oh-so-enjoyable little betrayals!” EH! merungkai isu ini khusus buat tatapan pembaca semua.
GUILTY PLEASURE
Dalam diam sebenarnya habit bergosip ini tidak mengenal jantina baik perempuan mahupun lelaki kedua-duanya turut bergosip. Cecile Gueret dalam artikelnya Why We Love Gossip menyifatkan gosip sebagai self-indulge yang juga dipanggil sebagai guilty pleasure. Selain itu Gueret turut menyatakan gosip mampu meneruskan satu ikatan sosial, ini kerana secara harfiahnya manusia lebih mudah bertindak balas dengan perihal yang kurang menyenangkan berbanding perkara yang positif. Tambahnya lagi dua yang tidak mengenal satu sama lain akan lebih mudah dekat dengan berkongsi cerita tentang orang ketiga.
Kolumnis terkenal, Bethenny Frankel menyatakan setiap perkara negatif keluar dari mulut setiap individu tentang orang lain adalah perkara yang mereka tidak suka tentang diri mereka sendiri. Tambah Frankel ada individu yang menjadikan gosip sebagai saluran mengeluarkan sesuatu yang mereka tidak puas hati yang melibatkan pihak ketiga.
CARA TERBAIK ELAK BERGOSIP
Jadilah insan yang boleh dipercayai. Elak daripada memberi respon kepada cerita yang anda sendiri tidak tahu hujung pangkalnya lagi. Jika anda tidak mahu kelihatan janggal dalam perbualan, cara terbaik adalah memberi pandangan yang positif dan mampu membuat persepsi mereka yang mendengar berubah. Selain itu adalah penting untuk anda lebih sensitif dengan apa yang anda katakan. Bukan apa takut nanti individu yang digosip ada kaitan dengan orang yang sedang anda bercerita. Terakhir, jadi lebih positif serta jika boleh lebih baik mengalihkan topik kepada sesuatu yang lebih positif.