Tahukah anda buah-buahan sebenarnya mampu dijadikan sumber untuk menyerlahkan penampilan yang menarik selain mengekalkan tahap kesihatan yang optimum? Malah rasanya yang manis dan harganya yang murah juga menyempurnakan diet anda memandangkan ia mudah didapati.
Oleh itu, buang sahaja makanan snek yang tidak menyihatkan dan gantikan dengan buah-buahan bermula hari ini!
Jenis buah-buahan: Mangga, betik, tembikai, strawberi, nenas, kiwi dan buah-buahan sitrus
Khasiat: Vitamin C
Simptom seperti lemah otot, kesan lebam, gusi berdarah, tekanan dan keletihan, mampu diatasi dengan menambah sumber Vitamin C dalam tubuh badan. Buah-buahan yang mengandungi Vitamin C sekaligus membantu anda memulih dan menambah tisu tubuh badan selain memantapkan sistem imunisasi. Lebih menarik, untuk mencerahkan lagi kulit wajah, Vitamin C adalah jawapannya.
Jenis buah-buahan: Tembikai susu, aprikot, pisang, keledek, labu dan pic
Khasiat: Vitamin A
Jika anda mengalami rabun mata terutama rabun malam dan cirit-birit, Vitamin A adalah sumber penyelesaian terbaik. Kandungannya yang membantu memulihkan masalah penglihatan, Vitamin A juga mampu melawan penyakit. Untuk memudahkan anda, pilih buah-buahan yang berwarna merah, oren atau kuning kerana kandungan Carotenoids di dalamnya boleh bertukar kepada Vitamin A ketika proses penghadaman berlaku.
Jenis buah-buahan: epal, anggur, buah ara, prun, jambu, dan kismis
Khasiat: Serat
Impian untuk memiliki tubuh badan yang langsing boleh menjadi realiti jika anda mengamalkan buah-buahan yang kaya dengan serat. Ini kerana serat yang dimakan boleh membuatkan anda terasa kenyang namun pada kalori yang rendah! Serat juga membantu anda melawan penyakit kanser, menurunkan tahap kolestrol dan tahap gula dalam tubuh badan. Tidakkah ia baik untuk mengelak penyakit seperti jantung dan kencing manis?
Jenis buah-buahan: Pic, buah ara, pisang, buah tamar, nenas, avokado dan limau mandarin
Khasiat: Protein
Tentunya anda sukar untuk percaya bahawa buah-buahan juga mengandungi sumber protein! Jadi, pelbagaikan lagi jenis makanan yang diambil untuk menambah kandungan protein dalam tubuh badan. Protein adalah nutrisi terbaik untuk mengatasi masalah seperti keguguran rambut, pening kepala, kesukaran untuk tidur mahupun kulit kering. Lebih menyeronokkan, anda boleh menyediakan salad buah-buahan sebagai makanan snek baru kala menonton televisyen mahupun ketika di pejabat!
Jenis buah-buahan: Kismis, aprikot, pisang, avocado, srawberi, mangga dan buah ara
Khasiat: Potasium
Potasium adalah satu lagi nutrisi yang baik untuk mengekalkan tahap air dan asid dalam sel tisu juga membantu menguatkan otot. Oleh itu, tambahkan buah-buahan yang mengandungi potasium dalam diet harian anda kerana ia juga mampu menyelesaikan simptom seperti tekanan darah tinggi, diebetis dan kelemahan memori. Untuk mempelbagaikan hidangan anda, sediakan ‘jus buah-buahan potasium’ untuk rasa yang lebih enak!