Teks: Hafizan Mohd
Industri muzik tempatan diwarnai dengan bakat-bakat baru yang cukup menyenangkan. Dan apa yang lebih menarik setiap daripada mereka hadir dengan pakej mencipta lagu sendiri yang cukup original dalam entiti muzik tersendiri. Hip-hop bagaikan bangkit kembali menjadi isi penting frekuensi radio tempatan dengan beberapa trak hebat daripa Malique, Altimet, DJ Fuzz dan lain-lain. EH! membawakan anda 10 album terbaik tempatan 2012!
MONOLOQUE – JEJAK TANAH
Evolusi muzik yang dijana kugiran ini merupakan sesuatu yang patut kita banggakan. Dengan kualiti bunyi yang diberikan, album ini ibarat musical journey yang membawa pendengar kepada satu fasa mengenal erti melodi melayu dalam nuansa moden. Apa yang lebih istimewa trak Batu Belah Batu Konkrit yang menampilkan suara emas Azlina Aziz menjadi alasan utama album ini antara yang terbaik tahun ini.
HUJAN – SANG ENEMY
Hujan sentiasa hadir dengan kejutan. Begitu juga dengan album studio keempat mereka ini. sang Enemy membawa pendengar sisi lain kugiran ini yang semakin berani membawakan kelainan dalam setiap trak yang nyata lebih keras. Trak seperti Rumah Kita, Mana Mungkin serta Janji Kita nyata sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah dipersembahkan dalam tiga album sebelum ini.
YUNA – TERUKIR DI BINTANG
Setelah kejayaan debut yang menampilkan hit Penakut dan Gadis Semasa, Yuna kembali dengan album kedua yang nyata tidak menghampakan pendengar setianya. Trak klasik moden Terukir Di Bintang menjadi trak paling banyak mendapat pendedahan radio selain beberapa hebat lain seperti Sparkle, Memo dan Coffee sekali gus meletakkan Yuna antara bintang terhebat sepanjang tahun ini.
MIZZ NINA – TAKE OVER
Album kedua Mizz Nina ini hadir dalam pakej yang cukup menarik. Puas rasanya membelek inlay album yang cukup kreatif ini apatah lagi lagu-lagu yang cukup segar sperti Take Over, With You dan Rentak Yang Sama. Apa yang lebih membuatkan belian album ini berbaloi tentu saja kerana cakera kedua yang dipenuhi dengan lagu-lagu remix yang cukup solid meletakkan standard album ini sehebat karya antarabangsa.
DIANDRA ARJUNAIDI
Bakat baru ini nyata hadir cukup tersendiri. Bakat nyanyian dan penciptaan lagunya meletakkan dia dalam senarai a must watch singer-song writer. Debut yang meletakkan trak Angkasa sebagai single utamanya ini nyata bertepatan dalam memberi kesegaran buat industri muzik tempatan. Beberapa trak seperti Happy, Untitled dan Things We Don’t Say hadir dengan kekuatan melodi dan lirik Diandra yang boleh disifatkan penuh dengan lovely explosive aura! Dia antara bakat yang harus diberi lebih perhatian.
SHAHIR
Kekuatan album ini tentu saja pada kekuatan vokal Shahir yang tentu saja dibantu kebijaksanaan Sham Kamikaze sebagai penerbit utamanya. Setiap trak diberi justifikasi yang cukup rasa, baik daripada melodi indah sehingga ke penyampaian Shahir. Trak Pendam antara yang paling memberi kesan dengan emosi Shahir yang cukup deep dan meyakinkan.
SALAM MUSIK
Kugiranini hadir dengan produksi yang cukup meyakinkan. Debut mereka yang menggabungkan elemen reggae dan hip-hop disatu dengan lirik yang penuh kritikan sosial terutama dalam trak seperti Di Tanah Kita serta Alamak. Sesuatu yang segar buat pendengaran tempatan.
GUBA – HILANG
Muzik akustik pop yang didudukung debut penyanyi ini cukup menyenangkan. Malah dengan susunan muzik yang minimal dibantu vokal Guba yang lembut menjadikan setiap trak diisi dengan begitu baik. You’re So Fine gabungan Guba bersama Yuna antara yang terbaik.
KLANGIT – DEWI
Muzik pop yang dibawa kugiran ini cukup kental pengaruh indo pop-nya. Penciptaan lagu-lagu dalam ini diiring dengan power chorus yang cukup baik dibantu vokal yang memberi justifikasi pada setiap trak dengan cukup berkesan. Klangit punya potensi untuk menjadi antara kugiran pop pelapis tempatan.
GOLDFISH AND BLINK
Debut yang meletakkan 12 trak ini hadir dengan kualiti rakaman yang cukup baik. Setiap muzik dirakam dan diadun dengan cukup kemas. Pastikan anda memiliki sistem bunyi yang cukup baik bagi menikmati setiap trak yang ada dengan kepuasan sebenar.