Pemilik restoran organic, O Cafe, Kevin Ong, yang terletak di Empire Gallery, Subang Jaya berkongsi dengan EH! tentang penyediaan makanan organic yang lazat serta di mana bahan organic didapatkan untuk melengkapkan hidangan menyihatkan di kafe penuh chic ini!
Boleh ceritakan sedikit mengenai kafe ini?
Saya mula membukanya sejak dua tahun lalu selepas restoran pertama saya iaitu Organic Recipe yang terletak di (place) mendapat sambutan luar biasa. Jika di sana saya memfokuskan pelanggan yang terdiri daripada keluarga, di O Cafe saya ingin menarik lebih ramai golongan muda untuk merasainya.
Apakah usaha yang dilakukan Kevin untuk memastikan menu organic yang disediakan adalah menyelerakan untuk menarik golongan muda menyukai hidangan di kafe ini?
Memang sukar untuk mengajak golongan muda supaya memakan makanan yang berasaskan sayuran atau organik sahaja kerana kebanyakan daripada mereka gemarkan makanan berdaging termasuk ayam. Untuk itu, saya memberikan variasi kandungan, warna dan rasa dalam hidangan supaya ia menjadi lebih enak dan menarik.
Bagaimana caranya?
Contohnya, kami tidak memasak ikan untuk hidangan kami tetapi kami mencipta sayuran yang boleh menjadi ‘ikan’ dalam menu itu. Antara bahan yang digunakan adalah kulit tahu yang dikumpulkan dan dimasakkan hingga menjadi ketulan besar seperti saiz ikan. Untuk rasanya pula, kami letakkan garam dan perasa semulajadi lain agar rasanya sama seperti ikan.
Namun begitu, kami tidak menyediakan menu yang mengandungi bahan yang menyerupai ayam atau daging tetapi bahan utama untuk menjadikan hidangan lebih rangup dan enak, kami gunakan pelbagai jenis cendawan terutama dalam piza. Rasanya memang sama lazat seperti meletakkan ayam atau daging.
Di mana Kevin mendapatkan bahan organik untuk penyediaan menu?
Kebanyakan sayur-sayuran organik yang dibeli adalah dari Cameron Highlands seperti lada benggala, salad, timun, kubis bunga dan sawi manakala seasoning powder dan kanji kacang hijau diperoleh dari negara Taiwan. Kami turut menggunakan molasses menggantikan kicap pekat dan garam laut menggantikan garam biasa yang dibeli secara tempatan. Selain itu, kami juga menggunakan minyak bunga dan minyak zaitun juga dibeli di dalam negara untuk menyediakan makanan yang lebih menyihatkan.
Menu pilihan di O Cafe