Mereka mempunyai wajah dengan tubuh badan yang cantik, sempurna dan menjadi igauan setiap gadis. Sehinggakan mereka tersenarai sebagai antara peragawati mengagumkan. Namun, obses untuk kekal kurus menyebabkan mereka mula hilang kawalan. Mereka merupakan mangsa Anorexia Nervosa.
[tab:Isabelle Caro]Isabelle Caro
Disebabkan kisah hidup kanak-kanaknya yang begitu menyayat hati, Isabelle Caro, peragawati dari Perancis ini menderita sebagai salah seorang mangsa Anorexia Nervosa. Seawal usia 13 tahun, Isabelle sudah mula bertarung dengan nyawanya.
Kata Isabelle, penyakitnya berpunca daripada kemahuan ibunya yang tidak ingin melihat anak perempuannya membesar sebagai seorang gadis. Sejak kecil, ibunya melarang Isabelle keluar dari rumah. Dia sering dinasihatkan, udara segar di luar hanya mempercepatkan lagi proses tumbesarannya.
Malah, Isabelle tidak dihantar ke sekolah sebaliknya menerima pendidikan dari rumah. Semuanya menjadikan dirinya lebih trauma sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja untuk menggembirakan ibunya.
Sejak itu, Isabelle mengawal pemakanannya secara mendadak gara-gara tidak mahu melihat dirinya meningkat dewasa. Dia hanya memakan dua petak cokelat dan lima keping emping jagung sehari. Bayangkan, berat badannya terus menjunam hingga mencecah lebih 23kg! Namun, menyedari kesan buruknya, Isabelle bersetuju untuk menjayakan kempen ‘Katakan Tidak kepada Anorexia’ pada September 2007.
Pelancaran kempen itu mengundang kontroversi hebat apabila jurugambar, Oliviero Toscani merakamkan gambar tubuh badan Isabelle. Hanya tinggal rangka, gambar Isabelle tanpa seurat benang pada tubuhnya mendapat perhatian mengejutkan seluruh dunia.
Kesanggupan Isabelle dalam membiarkan dirinya dipertontonkan kepada umum terus melonjakkan lagi namanya. Dia mula menerima banyak tawaran untuk menghadiri rancangan temubual televisyen serata dunia untuk berkongsi kisah hidupnya.
Bagaimanapun, Isabelle akhirnya tewas dalam pertarungannya melawan Anorexia. Dia menghembuskan nafas terakhir pada 17 November lalu ketika umurnya 28 tahun.
Komen EH! Rasa fobia ibu Isabelle menjadikan dirinya sentiasa dibayangi keresahan kerana tidak mahu membesar secara normal. Isabelle memilih untuk tidak makan dalam kadar sepatutnya dan terus mengabaikan rasa lapar. Namun, keberaniannya untuk menjayakan kempen itu wajar dipuji. Tidak semua mangsa Anorexia mahu mengaku dan berkongsi pengalaman juga konflik sebenar mereka.
[tab:Jeremy Gillitzer]
Jeremy Gillitzer
Anorexia Nervosa tidak hanya menular di kalangan wanita. Malah, penyakit ini turut menghantui golongan lelaki. Jeremy Gillitzer, peragawan yang dahulunya berwajah kacak, maskulin dan berbadan tegap, turut menjadi salah seorang pengidapnya.
Jeremy mula berjinak-jinak dalam bidang peragaan selepas disokong rakan-rakannya. Walaupun berasa gugup di depan lensa kamera, Jeremy sering muncul di dalam kempen fesyen berikutan susuk tubuhnya yang begitu atletik.
Namun, dalam kesibukan memenuhi pelbagai tawaran, Jeremy mula berasa bimbang. Menurutnya, tampil di khalayak ramai menyebabkannya lebih tertekan. Dia mula menjadi obses untuk sentiasa menonjolkan imej lelaki berbadan tegap.
Jika sebelum ini Jeremy hanya menjaga pemakanan dan senaman dalam tahap sederhana, kini dia semakin ‘fanatik’ dengan senaman termasuk dalam pengambilan makanannya. Kedua-dua rutin itu menyebabkan Jeremy hilang kawalan hingga berat badannya turun secara mendadak. Dia hanya memakan setengah biji epal dan setengah potong roti sandwich – adakalanya dia tidak berupaya untuk menghabiskannya.
Akibatnya, berat badan Jeremy tinggal hanya kira-kira 40kg.
Menyedari penderitaan yang dilalui, Jeremy mula mengirim e-mel kepada beberapa wartawan, meminta untuk kisah hidupnya disiarkan. Dia tidak mahu golongan lelaki lain melalui kehidupan yang sama sepertinya.
Tidak lama selepas kisahnya disiar dalam akhbar dan majalah, Jeremy dihantarkan ke hospital apabila pihak polis menerima laporan orang awam yang bimbang akan kesihatannya. Dia yang dimasukkan ke wad Methodist Hospital's Eating Disorder Institute, Minnesota merupakan satu-satunya pesakit lelaki di dalam wad terbabit. Selebihnya adalah pesakit wanita yang mengidap penyakit yang sama.
Dalam kesungguhannya melawan Anorexia, Jeremy gagal dalam pertarungannya. Dia menemui ajal pada 22 July 2010 ketika umurnya 38 tahun. Berat badan pada hari terakhir hayatnya menurun sehingga kira-kira 30kg.
Komen EH! Biarpun Anorexia cukup sinonim di kalangan wanita, namun kisah Jeremy membuktikan golongan lelaki juga turut terdedah dengan ancaman penyakit itu. Jika wanita mendambakan tubuh badan yang kurus seperti peragawati, lelaki pula mahukan badan yang kurus dan tegap. Tetapi, jika had senaman dan pemakanan gagal dikawal, risikonya bahaya sehingga membawa maut.