Tidak adil kepada bakal ibu untuk membuat persediaan seorang diri sahaja. Anda sebagai bapa harus sama memikul tanggungjawab dan sama-sama melakukan kajian apa yang perlu anda dan isteri tempuhi sewaktu dan selepas kelahiran. Untuk memudahkan kerja anda, kami ada beberapa tip berguna yang kami mahu kongsikan kepada anda.
Gambar: midliferocksblog.com
Isteri Tetap Nombor 1
Dek kerana terlalu teruja dengan kehadiran orang baru di dalam kehidupan anda berdua, anda mula membelakangi isteri anda dan lebih memberi tumpuan kepada si comel. Anda perlu tahu, selepas kelahiran, keadaan emosi isteri sangat lemah. Kekurangan kasih sayang dan perhatian anda boleh membuatkan isteri mengalami masalah kemurungan yang tidak baik untuk kesihatan mental isteri. Jangan lupa untuk melebihkan perhatian anda kepada isteri yang sedang berpantang.
BERCUMBU MENINGKATKAN IMUNITI? >>
Jangan Bazir Duit
Kami faham, ini adalah anak pertama dan anda mahu kelengkapan untuk bayi tidak kurang sedikit pun. Cadangan kami, jangan beli terlalu banyak sebelum kelahiran. Beli perabot untuk bayi selepas isteri selamat melahirkan kerana pada saat itulah anda tahu apa yang anda berdua benar-benar perlukan.
Sama-sama Berjaga Malam
Kami faham, anda harus ke pejabat di waktu pagi dan memerlukan tidur yang cukup untuk sentiasa bertenaga sepanjang hari. Tetapi, anda telah bersetuju untuk mempunyai anak bersama dengan isteri jadi jangan bermimpi untuk dapat tidur yang secukupnya selepas mempunyai anak. Kajian turut membuktikan bapa yang menukar lampin anaknya mempunyai ikatan perkahwinan yang lebih utuh. Sekiranya anda boleh bangun untuk menyaksikan perlawanan bola di waktu pagi, kenapa anda tidak boleh bangun untuk menukar lampin dan menyusukan anak?
RUSSELL BRAND DAN KISAH SEKSNYA >>
Tinggalkan Aktiviti Zaman Bujang
Kami percaya ramai pasangan yang memahami dan mengizinkan anda meneruskan aktiviti zaman bujang walaupun sudah berkahwin. Namun begitu, setelah mempunyai anak, anda sendiri perlu tahu mana yang perlu diutamakan. Janganlah sibuk dengan aktiviti futsal ketika si isteri baru habis berpantang atau pergi memancing di hujung minggu dan meninggalkan isteri bersama keluarga mertua. Tanya diri anda, anak dan isteri itu tanggungjawab anda atau masih di bawah penjagaan keluarga mertua?
STRATEGI UNTUK BERHENTI BERTENGKAR >>
Nasihat Ibu
Tidak dinafikan, ibu anda mempunyai lebih pengalaman dan ada cara tersendiri untuk membesarkan anda. Tetapi, tidak semestinya isteri akan bersetuju dengan cara tersebut. Biar isteri tentukan caranya sendiri dan lebih baik anda berdua belajar melalui pengalaman sendiri daripada pengalaman orang lain. Mulalah hidup berdikari dan tidak perlu sentiasa berada di bawah ketiak ibu sendiri.