Benda utama yang sering orang runsing apabila bertukar tempat kerja ialah “Macam mana nak buat kawan?”. Pepatah ada mengatakan, ‘Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’ bermakna, sesuaikan diri di tempat yang baru kita masuk. Mungkin di tempat kerja lama, kamu antara yang paling senang didekati oleh rakan sekerja yang lain, tapi jangan sangka untuk menerima layanan yang sama di tempat baru.
Gambar: ateb.com
Hari Pertama
Jangan terlalu mencuba, baru hari pertama. Yang boleh kamu buat, senyum dengan ikhlas pada sesiapa yang kamu terpandang di pejabat itu. Perkenalkan diri kamu pada pekerja yang berhampiran dengan meja kamu.
Makan Tengah Hari
Jika tiada siapa pelawa kamu untuk makan tengah hari, jangan segan untuk mempelawa diri sendiri. Cuba keluar makan tengah hari dengan kumpulan yang berbeza sepanjang bulan pertama kamu di tempat baru. Dari sini, mudah untuk kamu mengenali pekerja yang lain.
Jangan Malu Bertanya
Adat orang baru, banyak benda yang perlu kamu pelajari di tempat baru. Jadi, usah segan untuk bertanya kepada yang lebih senior selok-belok pejabat dan kerja kamu. Jangan takut, senior pasti akan membantu.
Elakkan Bergosip
Ada yang beranggapan gosip adalah jalan pintas untuk dapat gang, kamu silap! Jauhkan diri daripada sifat negatif ini tambahan pula kamu masih baru di situ. Psst! Jangan mudah percaya dengan orang yang kamu anggap senang untuk berborak.
Mungkin sedikit masa diperlukan untuk mendapat kawan baru di tempat kerja baru, tapi jangan putus asa.