Istilah metroseksual diambil daripada perkataan Yunani iaitu metropolis bermaksud ibu kota dan digabungkan dengan perkataan seksual. Metroseksual begitu unik sehingga dipilih sebagai Perkataan Tahunan 2003 oleh Persatuan Dialek Amerika.
Gambar: INGimage
Kebiasaannya, lelaki akan lebih cenderung untuk memelihara kereta atau kenderaan yang mereka sayang, memastikan keperluan gajet mencukupi atau mungkin gemar menghabiskan masa bersukan dengan teman-teman. Berbeza dengan lelaki yang metroseksual, mereka lebih gemar menjaga penampilan diri untuk memastikan diri sentiasa kemas, membuatkan mereka lebih suka menghabiskan masa di pusat membeli belah membelek koleksi terbaru atau mungkin di salun atau spa membelai diri.
Selalunya, golongan ini akan disalah erti oleh orang keliling. Mana tidaknya, kecenderungan mereka sedikit tersasar dari apa yang sepatutnya lelaki buat. Mungkin ada antara mereka yang sebenarnya memang sangat mementingkan penampilan kerana sudah diajar sejak kecil tentang kekemasan diri.
Ada sesetengah pasangan wanita yang suka dengan lelaki yang metroseksual ini. Bagi mereka, lelaki juga perlu dan penting memastikan kekemasan diri bukan sahaja dari dalaman malah luaran juga penting. Namun, tidak dinafikan ada juga yang kurang berkenan dengan golongan ini. Tepuk dada, tanya selera. Asalkan tidak melebihi dari batas-batas norma kehidupan sebagai seorang lelaki sudahlah, lebih-lebih lagi bagi yang Muslim.