Oleh Izzati Saadin
Gambar Google Images
Mungkin anda tidak dapat memiliki trofi emas Oscar milik Lupita Nyong’o mahupun Cate Blanchett, namun anda boleh memiliki ‘look’ pemenang dan calon Oscar yang menyerlah di karpet merah!
Lupita Nyong’o
Ramai yang memuja kecantikan wajah Lupita yang mana kulitnya tampak menyerlah dengan bibir yang mungil sempurna. Lupita mengenakan kening yang cukup dramatik dan bentuknya juga ‘sharp’ namun kekal tampak feminin. Bagi pipi dan bibir, jurusolek Nick Barose menyatakan dia menggunakan rona oren terang, namun tampak begitu mesra dan lembut pada wajah Lupita. Untuk memastikan solekannya tahan lama dan kalis “air mata”, Barose memastikan maskara yang dipakai adalah kalis air, gincu yang tahan lama serta memastikan kelopak mata ditekap terlebih dahulu agar tiada minyak untuk memastikan pembayang mata lebih tahan lama.
Sandra Bullock
Untuk memiliki solekan mata berkabut seperti Sandra Bullock, semuanya bermula dengan asas pembayang mata yang gelap. Rona tembaga atau coklat gelap menjadi pilihan bagi menyerlahkan lagi solekan matanya. Manakala bahagian lain dibiarkan minimalis. Rona Pipi dan gincu dipalitkan rona yang seakan sama bagi memesrakan lagi keseluruhan wajah.
Cate Blanchett
Gaun romantis Cate Blanchett tampak lebih menyerlah dengan solekan romantisnya hasil solekan jurusolek, Jeanine Lobell. Kulitnya yang tampil menawan di karpet merah memberikan keseluruhan wajahnya tampak cukup sempurna. Lobell menyatakan solekan matanya dipalitkan gandingan pembayang mata rona ‘taupe’ cerah dan gelap. Kemudian dimesrakan pula dengan rona coklat cair pada ekor mata. Coklat yang lebih gelap dipalitkan sepanjang garisan bulu mata bagi membentuk seakan penggaris mata. Rona pic lembut pula menjadi pilihan kemasan bibirnya.