Oleh Izni Jalil
Gambar: stock.xchgn
Bila disua soalan mengenai perkahwinan mahupun perhubungan intim bernama kekasih, anda sering mengelak dari menjawabnya. Ada saja alasan yang diberi dan anda tegar hidup sendiri. Adakah ini petanda anda orang yang takutkan komitmen? Kenali 5 ciri-ciri ini yang membezakan si penakut komitmen dengan mereka yang sekadar belum bertemu jodoh.
1. Satu pasangan untuk sepanjang hidup
Idea untuk hidup bersama dengan si dia dalam susah dan senang membuatkan anda tidak senang duduk. Bagaimana jika dia berpaling arah? Apa akan terjadi jika anda tidak mampu untuk membahagiakannya? Sikap berfikir terlalu jauh ini kadang menyebabkan kekangan untuk rasa gembira. Elak negatif dan hidup dalam aura positif boleh mempengaruhi perlakuan anda ketika berpasangan.
2. Kekangan mencapai impian
Semua orang ada cita-cita masing sama ada dalam kerjaya, hobi atau matlamat hidup. Namun, anda sering beranggapan perkahwinan hanya akan menyebabkan impian untuk mencapainya terhalang. Kerana itu pentingnya komunikasi dan tolak ansur dalam perhubungan.
3. Anda sempurna tanpa pasangan
Sering kali berlaku kepada mereka yang mempunyai keluarga bahagia, kerjaya dengan pendapatan lumayan serta berpewatakan menarik. Perkahwinan dianggap hanya sebagai aktiviti sosial yang tidak penting. Tetapi sebenarnya perkahwinan bisa mengajar anda untuk menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab dan teratur dalam mengawal emosi serta pemikiran.
4. Takut terluka
Semua orang pernah merasai kekecewaan ditinggalkan kekasih. Namun kekecewaan itulah yang mengajar kita erti menghargai orang di sekeliling. Perlahan-lahan, bina semangat untuk mendekati cinta semula. Jangan dibuang terus rasa bahagia itu. Bak kata pepatah, anda akan bertemu dengan beberapa orang yang salah sebelum bertemu ‘The One’.
5. Tiada ruang untuk diri sendiri
Menurut pembacaan dan pengalaman rakan-rakan, anda mungkin tidak akan ada masa untuk diri sendiri. Semua perhatian tertumpu kepada pasangan dan rumah tangga. Jangan sesekali jadikan cerita orang lain menjadi cerita anda. Corak hubungan yang baik bersama pasangan dan jadikan dia sebagai kawan baik. Lakukan aktiviti bersama-sama. Berbincang dan minta kebenaran si dia untuk meluang masa bersama teman baik untuk girl’s day out.