Oleh: Hafizan Mohd
Gambar: Ting Yang Shan
Bidang editorial fesyen yang mula diceburi bersama salah sebuah majalah Inggeris tempatan ditinggalkan kerana mahu meneruskan minat yang dikongsi bersama ibu yang mahu membuka bisnes membuat kek. Gateauxlicious menjadi jenama yang cukup ikonik buat pelanggan yang mahukan lebih daripada sebiji kek untuk dimakan tetapi menghargai seni kreatif pembuatannya. Asma’ Nasaruddin hadir dengan personaliti yang cukup mudah didekati dan disenangi. Mungkin kerana itu jugalah khidmatnya sentiasa dicari dan tidak hairanlah juga dia digelar The Cake Lady. Bersama EH! Asma’ berkongsi aspirasinya.
LATAR BELAKANG
Selepas berhenti sebagai penulis dan penata gaya buat sebuah majalah, ibu membuat keputusan untuk membuka Gateuxlicious kerana minat mendalamnya dalam membikin kek. Pada masa yang sama membantu ibu menghias kek saya juga pernah menjadi Head Buyer di Fashion Valet. Juggling two jobs was not easy. Waktu siang saya akan sibuk bersama pereka fesyen tempatan serta menghadiri majlis tertentu dan malamnya masa akan dihabiskan dengan menghias kek. Hanya selepas dua tahun selepas itu saya membuat keputusan untuk memberi fokus sepenuhnya buat Gateauxlicious.
TENTANG GATEAUXLICIOUS
Keunikan Gateauxlicious bagi saya adalah seni pada hiasan kek yang dibuat. Kehalusan kerja seni menjadi keutamaan agar setiap perincian pada hiasan contohnya bunga kelihatan sama seperti bunga segar. Namun begitu kami juga menitikberatkan rasa pada setiap kek yang ditempah dengan menggunakan bahan-bahan yang berkualiti tinggi.
APA YANG MEMBUATKAN ANDA MAHU SERIUS DALAM BIDANG INI?
Kerana cabaran yang ada. Bisnes ini membuatkan saya mencabar segala kebolehan serta kreativiti yang ada dalam diri. Sejujurnya saya tidak pernah membayangkan bisnes ini akan menjadi karier tetap namun perlahan-lahan minat menghias kek ini membuatkan saya gembira dan puas dengan hasilnya. It’s almost addictive now! Dan selain itu saya melihat potensi semakin besar berdasarkan permintaan yang ada.
HASIL KERJA ANDA MENUNTUT KREATIVITI TINGGI. IDEA BIASANYA DATANG DARI MANA?
Saya sukakan perkara-perkara yang cantik terutama sekali keindahan ciptaan tuhan. Dan kerana itu juga elemen semulajadi seperti bunga sentiasa menjadi pilihan saya setiap kali berkarya. Boleh dikatakan hiasan bunga ini menjadi signature pada setiap kek yang dihasilkan Gateauxlicious. Selain itu saya juga mendapat ilham daripda fabrik halus dan persalinan perkahwinan yang cantik.
CABARAN
Untuk memastikan semua individu yang bekerja dengan saya punya ketelitian yang serupa. Saya amat menitikberatkan perincian kerana itu jaminan kami buat pelanggan. Penting untuk saya lihat setiap kek yang dihantar kepada pelanggan tiba dengan sempurna dan mencapai standard yang ditetapkan. Jadi di sini cabaran untuk memberi pemahaman kepada pekerja-pekerja tentang etika kerja amat penting dalam memberi hasil yang diinginkan.
INSPIRASI ANDA?
Tentu sekali ibu saya. Kerja kerasnya membuatkan saya sentiasa menjadi inspirasi saya sekali pun jika diikutkan pada usia begini dia hanya perlu berehat seperti teman-teman lain tetapi dia masih memilih untuk bekerja dengan hasil yang tiada tandingan. Nilai terbaik yang saya belajar adalah setiap hasil yang dilakukan dengan usaha sendiri adalah perkara terbaik yang anda boleh banggakan dalam hidup.
PERANCANGAN AKAN DATANG?
Insya-Allah saya dan ibu mahu memiliki kedai sendiri. Kami sedang berusaha ke arah itu bagi memastikan impian ini menjadi realiti. Kami ingin menjadi pusat sehenti penggemar manisan untuk menikmati kek yang kami tawarkan. Selain itu jika boleh kami mahu menawarkan kelas menghias kek kerana saya percaya the best way to practice what you know is by teaching. Dapat berkongsi ilmu yang ada merupakan hal yang amat berharga buat saya.
NASIHAT BUAT YANG BERMINAT MENCEBURKAN DIRI DALAM BIDANG BISNES INI?
Belajar daripada mereka yang berpengalaman. Praktikkan ilmu yang telah dikongsi dan explore benda baru. Daripada situ anda boleh mencipta stail sendiri dan menjadikan anda unik juga tersendiri. Perlu sentiasa percaya dan berdoa dengan yakin.
PROFIL
Nama: Asma’ Nasaruddin
Lahir: Kuala Lumpur, Malaysia
Pendidikan: Double Degree in Commerce Majoring in Marketing & Management, Curtin University
Prinsip hidup: When you know your purpose in life, only then will you be able to grow and benefit the people around you.