Oleh: Hafizan Mohd
Dalam satu laporan Mail Online UK, Alexa Baracaia menyatakan sembilan daripada sepuluh remaja perempuan di Britain tidak gembira dengan bentuk tubuh mereka dan percaya menjadi kurus akan membuat mereka lebih gembira dan menarik sekaligus menjadi popular.
Menyokong kenyataan ini dalam laporan berbeza Mail Online UK, melaporkan seorang gadis berusia 20 tahun bernama Rachel Johnson percaya akan ideologi ini kerana mengidolakan tubuh Victoria Beckham dan Nicole Richie. Akibat daripada terlalu taksub untuk kurus, nyawa Rachel hampir menjadi taruhan selepas dilaporkan doktor memiliki hanya 48 jam untuk hidup kerana beratnya dibawah paras normal namun dapat diselamatkan. Jadi anda masih rasa kurus itu cantik? Fikirkan kembali.
BUDAYA POP
Carolyn Coker Ross, seorang ahli psikologi menyatakan kepercayaan kurus itu cantik dan sempurna banyak dipengaruhi dengan pendedahan budaya pop. Ross menambah dia juga pernah bertemu dengan pesakit yang mengambil patung Barbie sebagai motivasi untuk mereka kurus. Peranan media juga menjadi alasan utama mempengaruhi kepercayaan ramai wanita hari ini untuk menjadi kurus lebih daripada pengaruh rakan mahupun keluarga. Paparan model bertubuh kurus dalam kempen fesyen atau komersil memberi satu bahan fikir bahawa cantik itu harus kurus.
SAKIT KERANA KURUS
Dalam dunia hiburan Hollywood ramai boleh dijadikan pelajaran terbaik untuk kita semua sedar bahawa obsesi untuk menjadi kurus itu memakan diri sendiri.
KAREN CARPENTER
Ahli duo The Carpenters ini mati akibat kehilangan berat badan yang melampau. Karen mengamalkan “water diet” dan akibat daripada kehilangan berat yang berlebihan dia mendapat serangan jantung. Karen meninggal dunia dengan berat hanya 36kg pada usia 32 tahun.
CALISTA FLOCKHART
Pelakon siri Ally McBeal berkata dia makan dalam jumlah yang sangat sedikit dan melakukan aktiviti senaman berlebihan dengan memaksa dirinya untuk mengikut rutin tersebut. Akibat daripada itu Flockhart dimasukkan ke dalam wad setelah hampir setahun menjadi anorexia.
PAULA ABDUL
Koreografer dan bekas juri American Idol ini pernah merana kerana bulimia. Menurut Paula dia sentiasa tidak selesa dan punya tanggapan negatif tentang imej tubuhnya yang kecil. Akibat daripada itu dia mengawal ketat pemakanannya supaya tidak gemuk, atas alasan tidak mahu mengecewakan peminatnya.