Gambar: stock.xchgn
Ramai yang cuba untuk menurunkan berat badan dan mahukan keputusan segera. Namun tidak semua dari kita dilahirkan dengan tahap metabolik yang tinggi untuk membakar lemak dengan mudah dan perlu berusaha lebih sedikit dari mereka yang sememangnya langsing dan bersusuk ramping.
EH! temui beberapa cara yang boleh kita cuba bersama dan mungkin dapat mengurangkan 2kg dalam masa dua minggu sekiranya anda betul-betul disiplin dengan panduan yang dicadangkan.
1. Pemakanan
Pengambilan makanan adalah kunci dalam usaha mengurangkan berat badan, jadi cuba kembali kepada pemakanan asas selama 14 hari. Pilih menu seperti orang zaman dahulu yang tidak terdedah kepada makanan yang diproses atau mengandungi bahan pengawet. Jadi makanlah sebanyak mungkin ayam, daging lembu, ikan dan sayur-sayuran yang dimasak tanpa minyak, dipanggang atau gril. Sebaiknya pilihan bahan mentah organik adalah lebih bagus.
2. Senaman
Untuk meningkatkan tahap metabolisme bagi lapan jam berikutnya, cuba rutin senaman 4 hari seminggu selama 40 minit dengan mesin gim seperti treadmill, basikal atau cross trainer. Mulakan dengan warm-up kemudian menambah tahap intensiti setiap tiga minit (hingga capai tahap tertinggi yang mampu) berselang dengan menurunkan tahap intensiti setiap tiga minit sehingga anda selesai 40 minit itu. (sila dapatkan nasihat doktor bergantung pada tahap kesihatan anda)
3. Aktiviti
Membakar kalori dengan pergerakan adalah cara terbaik untuk memasukkan aktiviti dalam rutin harian. Semudah parkir kereta lebih jauh supaya dapat berjalan lebih atau turun bas/teksi beberapa minit sebelum tiba destinasi. Naik turun tangga dan bukan lif jika destinasi hanya satu atau dua tingkat tingginya. Selain itu boleh bakar kalori dengan aktiviti dirumah seperti menyapu atau menyelia taman. Juga disarankan bangun dari tempat duduk (sofa di rumah atau kerusi pejabat) setiap 30 minit – jika lupa pasang penggera pada jam telefon.
4. Tidur
Semudah dapatkan tidur secukupnya selama lapan jam. Kajian menunjukkan kekurangan tidur meningkatkan rembesan ghrelin (sejenis hormon yang terbentuk dalam perut dan buah pinggang) menyebabkan seseorang itu mudah berasa lapar. Pastikan juga ada kitaran tidur yang tetap dan rehat secukupnya (unwind) sebelum masuk tidur.
5. Zat Ekstra
Tambahan kepada kawalan pemakanan dan gaya hidup sihat, pengambilan supplement seperti Omega 3, Vitamin D dan L Carnitine dapat membantu mengurangkan lemak serta usaha yang dicurahkan dalam masa dua minggu ini.
*Disarankan untuk mendapatkan nasihat pakar sebelum menjalani program intensif seperti doktor peribadi mengenai nutrisi dan jurulatih profesional mengenai rutin senaman