Oleh: Izni Jalil
Gambar: INGimage
Ramai yang masih tidak tahu mengenai pap smear yang sememangnya penting untuk kaum wanita. Ambil tahu hari ini melalui soal jawab EH! ini dan fakta mengenainya.
Soalan: Apa itu pap smear?
Jawapan: Pap smear adalah ujian yang dilakukan untuk mengesan kanser serviks, atau pangkal rahim pada kaum wanita. Ujian ini mampu mengesan sedari peringkat awal sebelum sel berubah menjadi kanser dalam masa beberapa tahun.
Soalan: Siapa yang memerlukan ujian Pap Smear?
Jawapan: Setiap wanita yang pernah melakukan seks dan mereka tidak kira berapa pun usia anda termasuklah;
– Wanita yang mengadakan hubungan seks sebelum berusia 18 tahun
– Mereka yang mempunyai pasangan seks yang ramai
– Pasangan mempunyai hubungan seks dengan berbilang wanita
– Mereka yang mempunyai jangkitan kuman HPV, ejen penyebab kanser
– Perokok
– Tidak pernah atau lebih 3 tahun tidak melakukan ujian Pap Smear
Soalan: Bila waktu yang sesuai untuk melakukan ujian Pap Smear?
Jawapan: Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa anda tidak didatangi haid kerana darah merah boleh menganggu keputusan ujian. Selain itu, sebaiknya elakkan hubungan seks sehari sebelum melakukan ujian.
Soalan: Berapa kerap saya perlu melakukan ujian ini?
Jawapan: Jika ujian menunjukkan keputusan negatif, anda hanya perlu mengulanginya selepas 3 tahun. Namun sebaiknya, lakukanlah ujian setahun sekali.
Soalan: Bagaimana kanser serviks boleh membiak?
Jawapan: Ketahuilah walau pertama kali melakukan hubungan seks, pangkal rahim anda mudah terdedah dengan virus HPV yang dijangkiti melalui hubungan kelamin. Selain itu, faktor genetik dan lemah imunisasi badan turut menjadi punca kanser serviks. Antara gejala kanser serviks adalah keluar lendir darah daripada kemaluan, pendarahan selepas hubungan seks, hilang selera makan dan turun berat badan secara mendadak.