Seperti musim bunga di Korea, begitulah juga meriahnya pentas muzik di sana yang bakal rancak dengan kemunculan semula barisan artis popular yang berbaris untuk sesi “comeback” masing-masing.
Anda sudah bersedia? Bagi peminat K-Pop tentunya April ini menjadi medan yang cukup mengujakan dengan barisan kumpulan idola A-List yang bakal muncul dengan album penuh atau mini album masing-masing membuatkan peminat juga semakin resah.
Tampil dengan pelbagai konsep baru yang sarat dengan idea tersendiri, pentas muzik Korea Selatan April ini menjadi medan berentap yang hebat buat EXO, Infinite, Beast, 2PM, U-Kiss, Crayon Pop, A-Pink, Secret, Shinhwa dan juga artis solo seperti IU dan Psy juga turut turun padang bulan ini menampilkan kehebatan masing-masing setelah sekian lama “bertapa” mencerna ilham baru untuk diketengahkan.
Dalam masa yang sama, tidak hairanlah mengapa peminat setia semua artis ini mula berkempen dan bersungguh-sungguh mempromosi idola mereka serta mengikuti setiap langkah persiapan menuju ke acara “comeback” ini di laman sosial. Lebih mengujakan, selari dengan promosi album, beberapa kumpulan yang terus mengejar populariti seperti EXO turut menggunakan platform sampingan dengan mengadakan showcase serta kolaborasi dengan syarikat gergasi Samsung. Sementara Beast pula akan tampil dalam program realiti mereka Showtime: Burning the Beast di MBC April ini.