Gambar: INGimage
Orang Korea sememangnya terkenal dengan ketaksuban mereka untuk kelihatan cantik sehinggakan pembedahan plastik menjadi sebahagian dari budaya mereka. Mereka juga harus mencapai konsep kecantikan tersendiri untuk dianggap cantik selaras dengan beauty standard mereka. EH! senaraikan antara konsep kecantikan menurut wanita Korea.
1. Wajah Berkilau Cahaya
Bagi wanita Korea, wajah berkilau cahaya merupakan faktor utama kecantikan. Mereka tidak mahu wajah kelihatan kusam atau kering tidak bermaya, sebaliknya mahu tampak sihat bersinar di muka. Untuk mencapai wajah seperti itu, mereka menggunakan bedak asas atau pelembap muka yang sesuai dengan kulit. Mereka turut menggunakan BB Cream pelbagai fungsi yang bertindak sebagai pelembap, bedak dan juga penangkis sinaran matahari.
2. Mempunyai Wajah Kecil
Wanita Korea menggunakan pelbagai cara bagi mendapatkan wajah kecil yang ideal bagi mereka. Antaranya ialah dengan membuat urutan atau senaman muka yang turut dikenali sebagai face pilates. Cara senaman pertama ialah dengan menarik nafas panjang melalui hidung, kemudian hembus melalui mulut. Cara kedua pula turut memerlukan penarikan nafas panjang melalui hidung, disertai dengan balutan dagu serta bahagian bawah rahang muka menggunakan kain elastik, diakhiri dengan menarik kain tersebut ke atas dengan ketat dan kuat.
Mereka tidak kisah untuk berdepan dengan kesakitan asalkan dapat mencapai wajah idaman. Malahan, turut berani untuk suntik botox di rahang muka agar otot di bahagian itu mengecil seterusnya membuat wajah mereka tampak kecil. Bagi menentukan kekecilan wajah seseorang, mereka menggunakan saiz cakera padat (CD) untuk mengukurnya. Sungguh ekstrim bukan?
3. Mata Besar
Dikurniakan mata sepet membuatkan wanita Korea mendambakan mata besar. Mereka amat menitikberatkan kelopak mata dimana ianya dianggap sebagai faktor kecantikan yang dapat mempengaruhi rupa mereka. Pelbagai teknik solekan diaplikasikan bagi membentuk mata bundar atau galak. Di sana juga terdapat perkhidmatan menanam bulu mata yang boleh bertahan sehingga dua bulan. Mereka boleh memilih bulu mata dari bahan berlainan untuk digunakan.
4. Wajah Putih Pucat
Wajah yang putih serta pucat merupakan sesuatu yang cantik menurut wanita Korea. Pelbagai jenis produk digunakan bagi membuatkan mereka tampak sebegitu, ianya termasuklah pengunaan bahan semula jadi seperti susu dan timun yang diletakkan di muka. Dikhabarkan di negara itu juga turut menjual sejenis mask yang boleh membuat si pemakai kelihatan putih pucat dalam masa 10 hingga 20 minit sahaja!