Oleh: Mujahid Saddam
Gambar: INGimage
Adakah anda sering mengalami gangguan emosi seperti kemurungan, bersedih hati, kekeliruan serta kebimbangan yang tidak bertempat? Tidak kiralah apa sahaja penyebab ianya terjadi, gangguan emosi yang dibiarkan boleh berlarutan menjadi tragedi. Jika tiada tempat untuk mengadu masalah yang dihadapi, EH! sarankan anda untuk mencurah kesemua masalah yang ada ke penulisan.
Kajian menunjukkan bahawa menulis tentang permasalahan yang dihadapi boleh membantu dalam pemulihan emosi dan psikologi. Tinjauan yang dibuat membuktikan bahawa mereka yang menulis tentang kesulitan diri mempunyai kesihatan fizikal serta psikologi yang lebih baik.
Menulis terbukti suatu kaedah yang sihat untuk anda meluahkan perasaan. Ianya merupakan sesi terapi yang berkesan kerana anda berpeluang untuk melahirkan pemikiran yang terbuku di hati. Kadangkala perasaan bimbang akan masalah yang dicerita menjadi bahan bualan atau sendaan orang menjadi sebab kenapa anda mendiamkan diri. Tetapi melalui penulisan, anda tidak perlu risau mengenai persepsi orang kerana ianya boleh menjadi pilihan anda untuk tidak menerbitkan hasil tulisan itu sebagai tatapan umum.
Anggaplah penulisan anda sebagai sebuah diari refleksi diri. Mungkin masalah yang ditulis itu kedengaran seperti keanak-anakan, tetapi percayalah bahawa ia dapat membantu anda untuk mengenali diri, berfikir serta membantu dalam membuat pilihan dan seterusnya menolong anda untuk bergerak ke hadapan.