Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Bagi mereka yang ingin mendirikan rumah tangga, pastinya langkah yang paling penting untuk diambil adalah mengambil hati bakal mentua. Mungkin ada sahaja situasi di mana ibu bapa tidak berapa selesa dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka.
Sesetengah ibu bapa, mereka beranggapan apabila anak mereka kian dewasa dan ingin mendirikan rumah tangga, seolah anak mereka sudah dirampas orang luar padahal ia tidak dinafikan perkahwinan adalah perkara wajib bagi yang mampu dan untuk menghalalkan perhubungan bukan muhrim.
Ada juga sesetengah ibu bapa yang terlalu risau dengan pilihan pasangan hidup anak mereka kerana takutkan jika ia tidak berkekalan. Namun siapa kita untuk menidakkan takdir dan apatah lagi jika itu soal jodoh. Ya atau tidak, itu terpulang kepada empunya badan yang ingin dinikahi khususnya wanita. Pokok pangkalnya, pasangan yang ingin menikahi itu hendaklah tahu segala tanggungjawab yang bakal dipikul setelah berumah tangga dan bukan hanya melepaskan batuk di tangga.
EH! ingin kongsikan cara untuk menarik hati bakal mentua agar hajat yang baik untuk bernikah itu berjalan lancar dan direstui ibu bapa.
Perhati dan pelajari tentang bakal mentua
Perlahan-lahan risik apa yang anda perlu tahu tentang ibubapa pasangan anda. Sebagai contoh ambil tahu apa yang bakal mentua anda sukakan, hobi mereka, masakan kesukaan mereka, dan mungkin ciri-ciri lelaki atau perempuan yang bagaimana mereka sukakan.
Ringankan tulang untuk menawarkan bantuan
Jangan lupa untuk menawarkan bantuan jika anda rasa ia diperlukan seperti contoh jika bakal ibu mertua anda sedang mengangkat barangan yang banyak atau berat, bantulah mereka dengan rela hati.
Jaga Percakapan
Pastikan anda sentiasa menjaga tutur kata dan intonasi percakapan anda agar tidak terkecil hati mereka dan sekaligus boleh membuat anda di blacklist dari menjadi menantu pula. Jika bakal mertua anda seorang yang pendiam, sesekali cuba untuk berkomunikasi dengan mereka seperti bertanyakan tentang hobi dan pekerjaan mereka.
Berpakaian sopan
Memang benar bahawa kita tidak perlu jadi hipokrit dalam pemakaian. Tetapi dalam situasi ini, perlulah juga menjaga pakaian agar kelihatan kemas dan sopan supaya tidak menjejaskan reputasi diri anda dan agar dapat melancarkan perhubungan suai kenal dengan bakal mentua kita. Bagi lelaki, janganlah memakai seluar pendek, jeans berkoyak atau lusuh dan baju tanpa lengan ketika bertemu dengan ibu bapa kekasih anda. Dan buat sang gadis gaya santun adalah yang terbaik dan seharusnya tidak menjolok mata.
Jangan lupa untuk memuji
Memuji dengan ikhlas agar tidak nampak hipokrit pula nanti. Ada tempatnya dan juga masanya untuk memuji sebagai contoh memuji masakan ibu tunang anda sedap atau kediamannya cantik dan kemas.
Beri buah tangan
Jika anda inginkan usaha yang lebih berkesan untuk memikat hati mereka, belikan mereka buah tangan atau apa sahaja sebagai tanda mengingati mereka. Apatah lagi apabila tiba ulang tahun hari jadi mereka. Bonus jika anda sudah risik lebih awal dengan pasangan kesukaan kedua ibu bapanya supaya hati mereka akan lebih berbunga terima cenderahati dari bakal menantu.