Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage.com
Masalah kelemumur sebenarnya berlaku akibat minyak yang terhasil pada kulit kepala dan jika ia tidak dicuci dengan lebih kerap ia akan mengundang kepada masalah kelemumur. Kulit kepala akan lebih gatal dan kotor jika ia mempunyai masalah kelemumur dan mudah berminyak.
Apabila masalah kelemumur menjadi-jadi, risiko untuk rambut gugur juga boleh berlaku disebabkan kelemumur dan minyak berlebihan di kulit kepala menutup liang rambut. Sekaligus akar rambut akan senang patah dan rambut tidak kuat untuk bertahan lama.
EH! ingin kongsikan petua untuk merawat masalah kelemumur.
Air perahan limau purut
Perahkan air dari limau purut dan sapukan rata pada kulit kepala. Urut rata perahan limau purut agar ia akan lebih cepat meresap ke dalam kulit kepala. Air limau purut berfungsi untuk mencuci kulit kepala dengan lebih berkesan bagi yang mempunyai masalah kelemumur.
Daun Pandan
Gunakan kira-kira 10 helai daun pandan yang sudah matang. Tumbuk helaian daun pandan tersebut sehingga lumat dan tambahkan sekurang-kurangnya dua gelas air. Tapis air lebihan pada campuran tersebut dan kemudian sapukan rata pada kulit kepala. Ambil 30 minit untuk biar ia mengering dan cuci dengan air. Amalkan sekurang-kurangnya sebulan dua kali untuk lebih pembersihan kulit kepala kerana pandan berfungsi dalam mengurangkan masalah kelemumur bahkan memberikan aroma yang wangi buat rambut.
Santan kelapa
Sapu rata santan kelapa pada kulit kepala. Biarkan ia kering seketika di bahagian kulit kepala. Setelah itu cuci dengan shampu yang sesuai dengan kulit kepala anda. Amalkan dengan menggunakan santan kelapa untuk mengatasi masalah kelemumur kerana santan kelapa mempunyai khasiat yang baik untuk menghilangkan masalah minyak dan kelemumur.