Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Sakit belakang bukan hanya perit dan menyakitkan di bahagian belakang badan, tetapi kadang kala boleh menyebabkan sakit kepala. Ianya boleh terjadi jika badan kerap duduk pada postur yang salah dan terlalu lama pada satu tempat.
Sakit belakang juga sebenarnya boleh menyebabkan badan tidak aktif, kenaikan berat badan, tekanan dan kurang tidur yang mana kesemuanya boleh mengganggu rutin harian kita. Jadi, EH! ingin kongsikan regangan atau senaman mudah yang boleh melegakan sakit belakang.
- Baring di atas lantai atau permukaan yang rata dan bengkokkan lutut ke arah dada. Pegang bawah peha dan tarik dengan perlahan bahagian lutut menyentuh dada, regangan akan dirasa di bahagian bawah belakang badan. Tarik nafas sedalam-dalamnya sebanyak tiga kali.
- Duduk di bahagian hujung kerusi dengan postur badan menegak. Tundukkan dagu dan lapangkan dada anda. Secara perlahan-lahan, tundukkan badan anda ke hadapan dan seterusnya kepala ke bawah sehingga bawah lutut. Kedua-dua belah tangan pegang kedua-dua belah kaki anda dan tolak ke arah hadapan untuk meregangkannya lebih jauh. Duduk pada posisi ini seminit dan ulang.
- Duduk di atas tumit kaki. Pastikan lutut tidak rapat di antara lutut kanan dan kiri. Tarik nafas dan hembus secara perlahan-lahan sekaligus postur badan menunduk sehingga mencecah bahagian peha. Kedua-dua belah tangan mendepa ke hadapan, serta kepala menunduk ke atas lantai. Kekal pada postur tersebut selama 20-30 saat dan ulang.