Gambar: INGimage
Kelemumur menjadi musuh utama kepada proses penjagaan rambut, tidak kira kepada lelaki mahupun wanita. Ia bukan sahaja kelihatan jelas dengan kepingan putih yang kadang kala jatuh di bahu, malah memberi ketidakselesaan serta gatal pada kulit kepala.
PUNCA RAMBUT BERKELEMUMUR
KURANG NUTRISI Kecantikan selalunya dikaitkan dengan kesihatan dalaman. Tubuh badan yang tidak menerima cukup vitamin dan cara pemakanan yang tidak seimbang boleh menyumbang kepada keadaan kulit kepala yang tidak sihat. Antara makanan yang baik adalah lobak merah dan mangga. Ia kaya dengan vitamin A yang menggalakkan penghasilan minyak semulajadi pada kulit kepala, sekaligus mengurangkan risiko rambut berkelemumur.
KEHADIRAN YIS Keadaan rambut berkelemumur adalah disebabkan kehadiran yis di kulit kepala iaitu Malassezia Globosa yang memakan lipid atau sebum kulit kepala. Ia kemudian mengeluarkan sejenis molekul atau rembesan, sekaligus mengakibatkan kegatalan dan iritasi pada kulit kepala.
JARANG MEMBASUH RAMBUT Rambut yang tidak kerap menyentuh air dan dibersihkan dengan syampu boleh menyebabkan penghasilan minyak dan lebihan sel kulit.
SEBORRHEIC DERMATITIS Antara simptomnya adalah kulit kepala kering, gatal serta berkelupas. Cuaca panas menyebabkan pengumpulan peluh lalu terjadinya kegatalan serta kelemumur yang nyata. Jika berkelupas, ia terjadi kerana kulit kepala terlalu kering akibat penggunaan syampu yang salah atau terdedah kepada sinaran matahari terlalu kerap dan lama.
SENSITIF Ada juga mereka yang tidak serasi dengan syampu yang digunakan, lalu menyebabkan kelemumur. Membasuh rambut terlalu kerap juga adalah punca rambut kelemumur.
AKIBAT RAMBUT KELEMUMUR
- Kelemumur menyebabkan seseorang menggaru kulit kepala dengan kerap, dan lebih teruk apabila dengan tekanan yang kuat. Ini menyebabkan lapisan yang melindungi kesihatan rambut rosak dan terhakis.
- Kajian klinikal menunjukkan kulit kepala yang berkelemumur menyebabkan ia ‘berjangkit’ ke bahagian rambut yang lain. Rambut menjadi tidak berkilat mahupun anjal, struktur yang semakin lemah dan mudah putus, serta rambut gugur. Selain kesan secara fizikal, ia juga boleh menyebabkan rasa rendah diri dan hilang keyakinan dalam melakukan kerja seharian serta ketika bersosial. Kelemumur memberi tanggapan negatif kepada orang ramai dimana meraka dianggap sebagai pengotor dan berpenyakit.
CARA MENANGANI
KURANGKAN PENGGUNAAN BAHAN PENGAYAAN RAMBUT
Penyembur rambut, gel dan mousse adalah antara penyebab masalah kulit kepala kering atau alergi. Mungkin anda boleh cuba gel penggaya terapeutik atau minyak rambut yang diformulasikan daripada minyak tea tree.
MENGGUNAKAN MINYAK RAMBUT
Sapu minyak rambut yang diperbuat daripada bahan asli, sebagai contoh minyak rambut yang diyakini keberkesanannya yang diperbuat menggunakkan minyak bijan. Guna seminggu sekali.
KENAL PASTI BAHAN KIMIA DALAM SYAMPU ANTIKELEMUMUR
Ada sesetengah syampu yang direka khas untuk menyingkir kelemumur secara ekstrem, iaitu khusus untuk mengelakkan pengaktifan yis.
PILIH SYAMPU TERBAIK
Jika rambut berkelemumur, jangan guna syampu khusus untuk jenis rambut lain. Syampu dengan syampu yang mengandungi bahan antikelemumur. Setiap syampu direka khas bagi menepati keperluan setiap masalah berlainan. Jika tiada perubahan dengan jenama sekarang, cuba tukar kepada jenama lain.