Oleh: Reen Aziz
Gambar: INGimage
Penggunaan haruman wangian sebenarnya ada cara yang betul agar ianya kekal lama sepanjang hari. Namun tidak ramai yang tahu tentang cara dan teknik betul menyembur minyak wangi. Mungkin juga ramai yang tidak menitik beratkan akan cara penggunaannya. Adakah anda sering menyembur wangian di bahagian leher, belakang telinga dan pergelangan tangan sambil menggeselkan kedua-dua belah tangan?
EH! kongsi cara yang betul untuk memakai haruman supaya lebih tahan lama.
TIP HARUMAN
Wangian akan tahan lebih lama pada kulit yang berminyak daripada kulit kering. Jika anda mengalami masalah kulit kering, sapukan sedikit petroleum jelly sebelum menyembur wangian terus ke kulit tubuh agar harumannya kekal lebih lama sepanjang hari.
SEBELUM MEMAKAI BAJU
Mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa jika wangian disembur ke atas lapisan pakaian, ianya tidak menjamin harumannya akan kekal lama sepanjang hari. Ianya akan lebih mudah hilang dan tidak tahan lama. Untuk memastikan haruman wangian tersebut kekal sepanjang hari, pastikan anda menyembur wangian sebelum menyarungkan pakaian seperti di belakang leher, celahan lengan dan di bahagian belakang badan kerana dengan cara ini haruman mampu kekal wangi sepanjang hari.
JANGAN GESELKAN KEDUA PERGELANGAN TANGAN ANDA APABILA MEMAKAI HARUMAN
Ramai yang mempercayai jika wangian disembur pada bahagian pergelangan tangan sambil menggeselkan kedua-dua belah tangan ianya mampu mengekalkan keharumannya. Sebenarnya, ia bukan hanya tidak akan tahan lama, malah boleh menyebabkan iritasi ke atas kulit anda.