Kesibukan kerja dan persediaan majlis membuatkan anda tiada masa untuk diri sendiri. Usah bimbang, EH! fahami dilemma anda dan menyediakan beberapa tip untuk anda cuba agar dalam masa dua bulan nanti anda kelihatan langsing dan jelita di hari bahagia.
INGimage
Tip Nutrisi
JANGAN ABAIKAN SARAPAN Mulakan hari dengan sarapan pagi yang menyihatkan. Ramai beranggapan sarapan boleh menyebabkan kegemukan, walhal ia berlaku sebaliknya. Menu terbaik adalah nikmat sarapan rendah lemak dan tidak berminyak. Semangkuk oat dengan campuran susu rendah lemak dan buah-buahan segar adalah pilihan terbaik.
SENTIASA ‘HIDRAT’ Senaman, bahang matahari serta pendedahan berterusan terhadap penghawa dingin menyebabkan badan dinyahhidrat. Kerana itu anda perlu untuk minum jus asli serta air masak dalam kadar yang banyak dan berpatutan. Tanam azam untuk minum dua liter air setiap hari bagi melancarkan proses penyingkiran toksin melalui perkumuhan, rasa lebih bertenaga, membantu ton kulit yang lebih sekata sekali gus menjadikan anda tampak berseri di hari perkahwinan.
HADKAN PENGAMBILAN MAKANAN DIPROSES Makanan segar dan dimasak sendiri adalah pilihan terbaik untuk diet harian. Ini bagi mengelakkan anda daripada terdedah dengan terlalu banyak kandungan gula serta lemak yang bisa menambah selulit pada tubuh.
KURANGKAN GARAM Garam dan sodium adalah penyumbang utama kepada penyakit darah tinggi. Ketahuilah makanan yang diproses mengandungi kandungan garam yang tinggi kerana ia boleh menyebabkan makanan tahan lama serta menyebabkan ia rasa lebih lazat. Gantikan dengan herba dan rempah bagi mencipta kelazatan pada hidangan.
JUMLAH YANG BETUL Makan dalam kuantiti yang banyak pada waktu lewat petang adalah perbuatan yang membuatkan berat badan bertambah. Makan empat hingga enam kali sehari dalam saiz hidangan yang kecil. Elak makan makanan berat pada waktu malam kerana perut anda bisa buncit.