Gambar: INGimage
Menyusun strategi dan langkah dalam membina tubuh menawan dan pada masa yang sama menjaga kesihatan diri pasti ada syaratnya. Jangan sampai tersalah cara, takut binasa pula cita yang dibina.
Ketahui syarat yang perlu anda ambil berat ketika melakukan senaman.
Latihan yang salah
Aktiviti seperti squat dan lunge merupakan latihan umum buat anda yang menyertai sesi latihan di gim. Namun menurut salah seorang pelatih peribadi di The Sports Club LA, Caitlin Ritt, anda mudah melakukan kesilapan ketika membuat kedua-dua rutin latihan ini jika ianya tidak diberikan perhatian. Latihan seperti squat, jika dilakukan dengan cara yang salah akan menyebabkan anda mudah mendapat kesakitan di bahagian lutut dan pinggang.
Melakukan rutin yang sama
Latihan beragam harus dilakukan bagi mengelak anda berasa bosan, apatah lagi dengan aktiviti yang kurang bertindak balas dengan otot badan. Pastikan anda mengikut pelan yang telah ditetapkan oleh pelatih peribadi dan lakukan secara bergilir pada hari yang berbeza. Cari latihan baru untuk anda meningkatkan prestasi agar tuntutan matlumat yang ingin dicapai terlaksana.
Terburu-buru
Ingat! Komitmen anda dengan sesi latihan di gim tidak boleh dilaksanakan dalam jangka masa singkat. Jadi ambil masa untuk benar-benar faham dengan latihan yang dilakukan. Lakukan mengikut aturan yang ditetapkan. Jangan kerana mahu mendapat hasil yang cepat, anda melakukannya secara terburu-buru dan tidak mengikut aturan yang betul.
Hilang fokus
Lihat kembali tujuan asal anda memasuki sesi aktiviti di gim. Adakah kerana mahu membentuk tubuh badan lebih menarik atau sekadar menjaga stamina dan kesihatan diri? Jika anda peka dengan apa yang anda mahukan, pasti matlamat dapat dicapai. Jangan masuk sekadar mahu mencuba kerana perkara ini akan membuat anda tidak kekal dalam mencapai visi yang ingin dicapai.
Pemakanan
Ramai yang menganggap dengan memasuki sesi senaman di gim, mereka tidak perlu mengawal pemakanan. Kenyataan ini salah sama sekali kerana anda perlu ingat setiap aktiviti yang dilakukan memerlukan zat dan tenaga mencukupi. Bersenam tanpa mengawal pemakanan tidak akan memberi kesan kepada pengurangan kalori dan lemak dalam badan. Ikut jadual pemakanan yang diberi dan jika perlu ambil vitamin tambahan serta dapatkan nasihat pelatih peribadi.
Tidak realistik
Ramai yang mengidamkan tubuh menawan sehebat Jennifer Lopez, Jessica Alba atau Cameron Diaz sehingga meletakkan sasaran yang tidak realistik. Ukur tahap kemampuan anda dalam mencapai visi yang dicipta. Jangan hanya sekadar mahu mendapatkan hasil yang hebat, namun usaha yang dilakukan tidak selari dengan keinginan diri.