Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Arkib EH!
Sambutan hari raya pastinya satu ketika yang paling ditunggu ramai setelah sebulan berpuasa. Bagi, aktres wanita utama dalam drama bersiri yang cukup popular sebelum ini Suamiku Encik Sotong, Amyra Rosli, hari raya adalah saat yang ditunggu-tunggu buat dirinya.
Lebih manis apabila tahun ini Amyra beraya sebagai pelakon dan selebriti popular membawa pengalaman baru bersamanya. Dari segi kerjaya, aktres manis ini terus mengorak langkah dengan gandingan baru bersama Shah Jaszle dalam drama Bidadari yang kini sedang mendapat sambutan hangat peminat drama tempatan.
Keterujaan Amyra menanti Syawal sudah dapat dirasakan sejak awal Ramadan lagi. Menurutnya, boleh dikatakan kini mungkin sudah 20 pasang baju raya siap ditempah untuk menyambut hari raya nanti dan juga untuk pelbagai majlis yang bakal dihadirinya. Baginya, hari raya adalah satu saat yang meriah bersama keluarganya serta adik-beradik yang menjadikan Amyra sebagai stail ikon dalam keluarga.
Gambar: Arkib EH!
Meskipun sibuk dengan penggambaran untuk iklan, duta AuraWhite dan penggambaran Cik Bunga dan Encik Sombong, aktres manis ini masih sempat untuk menguruskan bisnesnya, Duchess by Amyra Rosli yang membawa koleksi raya tahun ini. Khabarnya sambutan juga menggalakkan dan Amyra mungkin merancang untuk meluaskan lagi bisnesnya kepada kasut dan lain-lain.
Gambar: www.melvister.com
Ditanya tentang perancangan di masa hadapan, Amyra menjawab, “Insya-Allah akan datang Amyra masih berlakon dan Amyra akan melebarkan sayap mungkin ke pengacaraan, mungkin juga ke bisnes. Tetapi Amyra tidak akan lari dari industri ini. ”