Gambar: INGimage
Kalau ditanyakan kepada lelaki tentang kualiti pasangan idaman mereka, sudah tentu banyak perkara yang terkandung dalam senarainya. Malah, ada pula yang terlupa menatap biasan diri pada cermin dengan meletakkan syarat tinggi melangit! Aduhai lelaki, jangan fikir hanya anda sahaja yang tahu memilih kerana ada kalanya wanita juga lebih cerewet dan remeh dalam soal memilih pasangan hidupnya.
Fikirkan sejenak apa kemahuan golongan hawa yang tersirat atau tersembunyi daripada pengetahuan lelaki.
Yakin pada diri
Paling penting, jangan memperkecilkan kelemahan diri sendiri. Ada yang menyerah kalah sebelum berbuat apa-apa. Ini bukan sifat lelaki sejati. Anda harus berikan alasan kukuh, mengapa anda tidak boleh lakukannya. Penting untuk berlatih bersungguh tanpa mengenal erti putus asa dan sentiasa berfikiran positif. Mungkin kerana sikap yakin diri yang tinggi, maka anda masih punya harapan atau ruang mendekati wanita yang selama ini anda puja dalam diam.
Bijak Berjenaka atau Jenaka Bijak?
Jangan bercakap terlalu serius atau ketawa yang dibuat-buat. Lebih teruk kalau tersengeh-sengeh dan tersenyum simpul tidak tentu fasal. Ingat, untuk menjadi seorang yang kelakar tidak semestinya kamu membuat lawak bodoh. Belajar berjenaka secara spontan dan bersahaja kerana ini akan menghiburkan hatinya, membuatkan si dia merindui kerenahmu.
Wang
Ramai wanita dituduh bersifat materialistik atau mata duitan. Mereka hanya mahukan lelaki yang berjaya dan mempunyai wang yang banyak. Tetapi, tidak semua wanita layak diadili sebegitu. Wanita sebenarnya pantas tertarik kepada lelaki yang kukuh ekonominya. Ini dilihat penting bukan saja untuk masa hadapannya, malah masa hadapan zuriat atau penyambung generasi seterusnya.
Romantik
Ingat, romantik bukannya gatal atau miang. Lelaki yang romantik adalah lelaki yang pandai mengambil hati dan bijak pula menggunakan kata-kata. Suka mengambil berat dan penyayang juga menjadi salah satu aspek yang menarik perhatian wanita. Biar seseorang wanita itu kelihatan ‘rugged’ atau agresif. Namun, dalam soal atau perihal teman lelaki, kebanyakkannya memilih yang romantik dan gemar membuat kejutan yang indah.
Bijak
Antara impian wanita adalah mendampingi lelaki yang bijak dan berpendidikan tinggi. Meski kebijaksanaan bukanlah kayu ukur kematangan diri, tetapi lelaki dengan ilmu dan pengetahuan antara paduan yang menyerlahkan sifat seksi dan menarik untuk didampingi.
Sensitif
Jadilah seorang lelaki pendengar yang baik. Wanita menyenangi lelaki yang mendengar setiap butir bicara mereka, memandang tepat pada matanya sepanjang berkomunikasi. Sifat ini dilihat sebagai satu penghargaan.
Suka kanak-kanak
Sikap ini bukan saja membias sikap prihatin dan penyayang malah, secara tidak langsung, ia mengusik sensual naluri seseorang wanita. Lelaki dengan sikap sebegini dilihat punya kelainan dan tentunya mampu menjamin kesejahteraan kehidupan berkeluarga kelak.
Bijak bergaya
Jika seseorang wanita menyenangi kehadiran seseorang lelaki yang serba ringkas, itu tidak bermakna mereka juga pantas menyenangi lelaki yang mengabaikan aspek kebersihan diri. Pastikan kulit, rambut, kuku dan tubuh sentiasa dalam keadaan bersih dan rapi. Pastikan anda bebas daripada sebarang masalah bau badan yang kurang menyenangkan. Sentiasa kemas meski berpenampilan ringkas.